BATU KAWAN - Enam termasuk dua murid pendidikan khas integrasi Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara (SKBTM) mengharungi laluan sepanjang 20  kilometer dalam Program Perjalanan Sahsiah Terpuji yang dianjurkan sekolah itu bersempena dengan bulan kemerdekaan.

Program julung kali diadakan itu bertujuan menyemai  semangat cintakan negara selain memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga sekolah.

Guru Besar SKBTM, Fadfzilah Hassan berkata, kesemua  murid yang terlibat berusia di antara 10 dan 11 tahun menyahut cabaran itu bersama tiga guru dalam  membawa Jalur Gemilang sepanjang acara berlangsung.

Menurutnya, program berkenaan yang mendapat pengiktirafan Jabatan Pendidikan Negeri belum pernah dilakukan oleh mana-mana sekolah di negera ini dan diharap dapat dijadikan contoh serta inspirasi kepada murid-murid.

Kesemua mereka memulakan acara seawal jam 6.45 pagi dengan berjalan melalui laluan Simpang Ampat, Valdor, Jalan Puteri Gunung sebelum kembali ke kawasan sekolah kira-kira jam 10.40 pagi.

"Mesej yang ingin disampaikan di sini bukan sahaja mahu menunjukkan semangat  cintakan negara malah program ini juga mampu membentuk jati diri dan sahsiah yang terpuji apabila mereka bertekad menyelesaikan satu misi untuk berjalan dengan laluan yang jaraknya agak jauh iaitu 20 kilometer," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini semalam. Enam murid yang terlibat dalam program itu ialah Yap Wei Kang,14; Relwellon Supin, 9; S Gokulsistaran,11; Edric Sherwinn Alexander,11; Mohamad Noor Hilmi Abdullah, 11 dan Mohamad Affan Mohamad Hashim,10.

Sementara itu,Penolong Kanan Pendidikan Khas SKBTM, Khusairi Ismail berkata, kesemua murid yang terlibat menjalani latihan fizikal dan kecergasan selama  seminggu bagi menjayakan program ini.

Menurutnya, mereka menjalani latihan dengan berjalan sejauh tiga kilometer sehari selain sentiasa diberikan motivasi untuk menjayakan misi ini.

"Walaupun dua peserta terdiri daripada murid pendidikan khas namun mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mengharungi cabaran ini.

"Walaupun ada kekurangan namun bukan penghalang  kepada mereka. Saya harap dengan semangat yang ditunjukan enam murid ini akan jadi contoh kepada murid SKBTM yang lain," katanya.