Bayan Lepas - Pertandingan mewarna yang melibatkan penyertaan kira-kira 100 kanak-kanak sempena hari pertama Festival Guru Malaysia 2019 diceriakan dengan kemunculan maskot siri animasi, 'Upin dan Ipin'.

Rata-rata kanak-kanak yang mengambil bahagian sangat teruja sebaik dua maskot berkenaan muncul di pentas utama festival yang diadakan sehingga Khamis depan. 

Seorang peserta, Nur Yazara Darwisya Yusmarizal, 6, berkata, walaupun acara bermula pukul 10 pagi, dia sanggup bersiap empat jam sebelum itu kerana begitu teruja untuk menyertai pertandingan itu.

“Saya suka benda yang cantik sebab itu saya masuk pertandingan. Saya sangat gembira kerana dapat jumpa Upin dan Ipin yang saya minati,” kata murid pra Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara itu ketika ditemui.

Rakan sekelasnya, Mohd. Rayyan Naomie, 6, pula berkata, perasaan cemasnya memasuki pertandingan hilang sebaik ternampak kelibat dua maskot tersebut. 

“Saya pun menyanyi dan menari seperti Upin Ipin buat di atas pentas. Semua kawan-kawan juga gembira,” katanya. 

Mereka merupakan antara lebih 20 murid pra sekolah yang menyertai pertandingan itu. 

Mereka ditemani guru pengiring, Kamalia Mat Shamsudin dan Farah Waheeda Johari. 

Sementara itu, pelajar Tahun Dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin, Relau, Khoo Yi Huai, 8, akui sedikit gemuruh pada awalnya kerana baru pertama kali menyertai pertandingan tersebut.

“Apabila melihat semua kawan-kawan gembira, saya pun gembira. Dapat pula tengok Upin dan Ipin,” katanya yang ditemani guru pengiring, Oon Lay Chin. 

Pertandingan itu dimenangi oleh Nur Humaira dari pra SK Ara, manakala Jaqueling Tan Qing Ping dari SJKC Kwang Hua menjadi johan bagi Kategori SK. 

Selain mewarna, pertandingan mencipta kad ucapan dan nyanyian solo turut diadakan yang masing-masing dimenangi oleh Lee You Ning dari SJKC Shin Chung, manakala Ong Zheng Yao juara bagi Kategori SK. 

Eksekutif Jualan LC Merchandising Sdn. Bhd, Siti Nurhayyu Rahmat, 28, berkata, selain maskot Upin dan Ipin, pihaknya menyediakan pelbagai cenderamata buat pengunjung. 

“Kita menyediakan pelbagai cenderamata bernilai RM10,000 yang dijangka habis dalam tempoh lima hari ini,” katanya.

Artikel berkaitan:

Enam guru ini terima bantuan YGMB pada Festival Guru Malaysia 2019

Ini penjelasan Ketua Pengarah Pelajaran mengenai guru Bahasa Inggeris

FGM 2019: Guru tidak sangka jadi juara

Guru perlu bersedia tempuh cbaran revolusi industri

Kekurangan guru Bahasa Inggeris isu utama, bukan MUET