BUTTERWORTH - Gara-gara motosikal yang ditunggang hilang kawalan, seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Kamloon Jumaat lalu.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhamad Hafiz Bin Abdullah, 12, dipercayai membonceng bersama dua lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dibonceng mangsa bersama dua lagi rakannya itu dari arah Institut Pertanian Bumbung Lima menghala ke Pantai Kamloon.

“Setibanya di tempat kejadian, penunggang motosikal berkenaan bersama dua  lagi rakannya dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan di atas rumput sebelah kiri jalan,” katanya.

Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa yang yang duduk di bahagian belakang telah terpelanting ke kiri jalan.

“Kepala mangsa terkena kepada tiang pagar tepi jalan tersebut, manakala pembonceng tengah dan penunggang motosikal telah terjatuh ke kanan jalan di tepi parit sawah padi bersama motosikal yang dinaiki.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan akibat dari kemalangan tersebut,” katanya.

Menurutnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.

“Siasatan masih lagi dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak agar mengelakkan insiden seperti ini berulang. 

“Menunggang motosikal lebih daripada dua di samping tidak mempunyai lesen adalah perbuatan yang berbahaya, bukan sahaja membahayakan nyawa pelaku malah nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya.