GEORGETOWN - Seorang murid Tahun 3 terpaksa melupakan hasrat untuk ke sekolah  selepas menderita penyakit kulit kronik sejak enam bulan lalu.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Minden Height, Nur Qalisya Noor Azmi, 9, yang menghidap penyakit  psoriasis itu kini hanya mampu terlantar di rumah keluarganya di Flat Taman Tun Sardon.

Ibunya, Noorrehan Che Saad, 33, berkata, sejak enam bulan keadaan Nur Qalisya  bertambah teruk sehingga tidak dapat ke sekolah malah dia tidak dapat menghadiri sesi awal persekolahan tahun ini.

Menurutnya, Nur Qalisya tidak mampu ke sekolah kerana  kulit badannya sangat sensitif dengan cuaca panas.

“Sebelum ini, dia sihat sahaja. Tapi pada awal Jun tahun lalu, kami mendapati kulitnya mula berubah dan  gatal-gatal.

“Disebabkan penyakit kulit ini, dia hanya mampu  terlantar kerana keseluruhan kulit badannya akan mengelupas, pedih dan gatal-gatal.

Lebih menyedihkan, dia tak  dapat ke sekolah dan beritahu saya, dia rindukan alam persekolahan kawannya,” katanya  ketika ditemui media kelmarin.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Dr  Mahanom Mat Sam bersama  beberapa guru SK Minden Height, Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid hadir
ke rumah Nur Qalisya bagi lawatan sempena Program Ziarah Cakna di sini.

Suri rumah itu berkata, Nur Qalisya kini sedang mendapat  rawatan di Hospital Pulau Pinang bagi mengubati  penyakit kulitnya itu.

“Suami hanya seorang  pemandu bas dan setakat ini, hanya membawa Nur Qalisya  ke HPP untuk rawatan.

Doktor ada maklumkan penyakit ini sukar pulih dan akan berulang semula.

“Tetapi setakat ini rawatan yang diterima di HPP sesuai  dengan anak saya. Saya cuma berharap anak saya akan pulih segera dan dapat kembali ke sekolah seperti yang dia mahu,” katanya.

Sementara itu, Mahanom berkata, bagi memastikan  Nur Qalisya tidak ketinggalan dalam pelajaran, guru sekolah  tersebut akan hadir ke rumah kanak-kanak itu  secara bergilir-gilir untuk mengajarnya.

Menurutnya, usaha itu dibuat kerana melihat semangat Nur Qalisya tidak pernah luntur untuk belajar walaupun tidak sihat.

“Selain itu guru kaunseling juga akan hadir ke rumahnya  bagi memberikan  motivasi kepadanya.

“Saya harap dengan usaha ini, dapat membantu Nur Qalisya untuk belajar dan tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Dalam lawatan itu, sumbangan  dan bantuan turut diberikan kepada keluarga berkenaan.