PULAU AMAN - Bagi memastikan murid-murid sekolah mendapat makanan berkhasiat, Bank Rakyat Malaysia Berhad melancarkan program Nuri Nutrisi di
Sekolah Kebangsaan Pulau Aman (SKPA) di sini.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat untuk menyediakan makanan bernutrisi tinggi pada waktu rehat setiap hari.

Menurutnya, pihaknya tertarik dengan keunikan SKPA yang hanya memiliki 20 murid dan 10 guru selain tidak memiliki kantin di sekolah.

“Program ini sebahagian aktiviti sempena Kempen  Merdeka Bank Rakyat yang berlangsung dari 27 Julai hingga 30 September 2018.

Murid-murid di sekolah ini akan dibekalkan makanan berkhasiat selama 16 minggu  bagi memastikan mereka mendapat makanan seimbang yang membantu pembelajaran setiap hari.

“Melalui kerjasama dengan Kelab Media Mutiara  Pulau Pinang kita lancarkan program Nuri Nutrisi yang berkonsepkan bank makanan di SKPA dan akan diteruskan di beberapa sekolah lain selepas ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program berkenaan baru-baru ini.

Turut hadir, Guru Besar SKPA Nokman Che Abas. Pada majlis pelancaran itu pelbagai aktiviti turut diadakan dan 20 murid SKPA turut menerima buku  akaun dan keahlian Kelab Nuri Bank Rakyat bagi membantu mereka membuat simpanan selepas ini.

Nizam berkata, sempena program berkenaan pihaknya  turut menyumbang lukisan mural dan kabinet makanan kepada SKPA di ruang makan murid.

Dalam pada itu Nokman berkata, pihaknya amat bertuah  kerana dipilih oleh Bank Rakyat sebagai penerima sumbangan itu serta murid-muridnya dihargai
oleh pihak penganjur.

“Saya berharap program ini dapat membantu pembelajaran murid-murid di sekolah ini pada masa depan serta menjadikan mereka kanak-kanak yang sihat fizikal dan mental,” ujarnya.