SEBERANG PRAI - Gara-gara menyamun seorang guru sebuah tadika di sini, seorang lelaki berusia 20-an diberkas polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada 27 Julai lalu semasa mangsa bertugas di Tabika Kemas di Padang Menora.

"Ketika kejadian, suspek menaiki motosikal dan berhenti di pintu pagar tabika tersebut sebelum meluru masuk tanpa membuka topi keledar.

"Mangsa pula menyangka suspek adalah keluarga kepada murid di tadika itu," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana suspek memiliki parang dan mengugut untuk mencederakannya.  

Katanya, suspek kemudiannya merampas beg tangan milik guru di tadika tersebut dan bertindak melarikan diri.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek mengaku melakukan jenayah samun tersebut dan telah membuang beg mangsa ke dalam hutan kelapa sawit berhampiran tempat kejadian.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.