GEORGETOWN - Penubuhan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) bukan sahaja menyediakan bahan bacaan berasaskan elektronik yang berteraskan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik), malah ia sebagai galakan untuk menggunakan kemudahan era digital.

Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata, PDL juga adalah sebuah tempat untuk membina kemahiran pengekodan generasi muda melalui pembelajaran digital.

Menurutnya, pengetahuan sains dan teknologi amat penting untuk golongan  muda dan ia perlu dikembangkan.

“Tujuan PDL ditubuhkan dengan  20,000 bahan bacaan berasaskan elektronik ini adalah sebagai galakan generasi muda mendalami sains dan teknologi.

Perlu diingat, proses pembelajaran tidak semestinya perlu diberi tumpuan dalam pembelajaran ilmiah saja.

“Ia perlu dikembangkan kepada pengetahuan sains dan teknologi yang mana, murid dan pelajar sekolah boleh memperluaskan kebolehan antaranya dengan mempelajari ilmu pengekodan,” katanya.

Kon Yeow berkata, ilmu pengekodan adalah kemahiran asas yang mampu mendorong ke arah mereka bentuk aplikasi dalaman komputer.

“Kerajaan negeri amat prihatin dengan masa depan anak-anak Pulau Pinang dalam era digital. PDL adalah platform generasi muda mendalami bidang STEM.

“Mereka perlu mahir dan ada minat dalam mereka bentuk aplikasi seperti laman web dan sebagainya. Jangan hanya jadi pengguna teknologi saja, perlu ada kemahiran untuk jadi lebih cekap,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM10.8 juta untuk sebahagian jumlah kos pembangunan  untuk menyediakan 20,000 bahan bacaan di Perpustakaan Digital Fasa ke 2 (PDL-P2) yang dijangka siap Disember ini.

Kerajaan Pulau Pinang kini menuju ke arah revolusi industri 4.0, berasaskan pengumpulan dan analisa data menerusi penggunaan komputer.

Sehingga kini, Perpustakaan Digital Fasa ke 2 (PDL-P1) mempunyai pendaftaran keahlian sebanyak 3,157  akaun dengan 2,857 pengguna aplikasi ReadCasa.