BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri runsing anak lelaki mereka yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU)  hilang sejak seminggu lalu.

Mohamad Loqman Hakim  Ismail, 16, yang mengalami masalah pertuturan, disedari hilang dari rumah  mereka di Kampung Lahar Kepar, di Kepala Batas, pada 9 Februari lalu.

Ibu remaja terbabit, Maimunah Lebai Shaari, 61, berkata,  kehilangannya disedari suami, Ismail Abdullah, 61, selepas pulang daripada berniaga pada petang Sabtu  lalu.

Menurutnya, anak bongsu daripada 10 beradik itu tidak  mempunyai perselisihan faham  dengan keluarga dan tingkah laku Mohamad Loqman Hakim seperti biasa.

"Menyedari kehilangannya, kami membuat laporan di Balai Polis Kepala Batas pada hari yang sama selain  tidak henti mencari Mohamad Loqman di kawasan sekitar termasuk di Georgetown.

"Sebagai ibu, sudah tentu  saya risau dengan keselamatannya dan bimbang jika dia  tersalah pilih kawan," katanya yang ditemui di sini semalam.

Maimunah berkata,  anaknya yang juga pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti  (PDK) Paya Keladi Kepala Batas itu juga pernah meninggalkan rumah selama tiga hari pada 1 hingga 3 Februari lalu.

Menurutnya, sebelum ini  mereka menerima panggilan telefon mengatakan anaknya ditemui pasukan peronda di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Telok Air Tawar.

"Sejak itu, pintu rumah kami sentiasa dikunci kerana  bimbang dia keluar, namun kami turut membawa dia bersiar-  siar sekitar Pulau Pinang.

"Tak sangka terjadi lagi, selepas dia keluar, saya hilang  selera makan selain sukar tidur  serta bimbang ia jejaskan kesihatan kami," katanya.