GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang menghadiahkan wang tunai sebanyak RM500 kepada seorang pelajar kurang upaya (OKU) yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Kenzon Yeoh, 18, yang mengalami cacat penglihatan mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Georgetown itu mengakui tidak sangka akan dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

“Saya terharu diberi penghargaan sebegini oleh kerajaan negeri. Saya tak sangka akan dapat hadiah daripada kerajaan negeri.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang banyak memberi sokongan dan galakan untuk saya terus berjaya.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua guru dan rakan-rakan yang telah mengajar dan berkongsi ilmu pengetahuan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan yang diperoleh itu adalah hasil usaha keras selama ini walaupun sukar melihat seperti orang lain.

Dia turut berkongsi hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat.

Sumbangan wang tunai itu disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, baru-baru ini.

Guan Eng turut mengucapkan tahniah kepada Kenzon Yeoh atas kejayaan yang dimiliki.