BAYAN BARU - Seorang petugas kawalan lalu lintas cedera di kepala selepas motosikal ditunggangnya dilanggar  kereta, awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengawal  lalu lintas acara larian tahunan, Penang Amateur Athletic  Association (PAAA) Annual Round The Island Relay.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 51 tahun menunggang motosikal bersama  salah seorang peserta simpanan berusia 16 tahun.

Peserta simpanan tersebut yang juga pelajar sekolah  turut patah kedua-dua belah kaki. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, kejadian berlaku jam 4.10 pagi berhampiran kilang di Jalan Sultan Azlan Shah.

Menurutnya, ketika mangsa membawa salah seorang peserta simpanan acara  tersebut, datang kereta dari arah Bayan Baru lalu melanggar motosikal mangsa dari arah belakang.

"Kereta jenis Toyota Altis yang dipandu seorang lelaki  berusia 34 tahun tiba-tiba datang dari arah belakang lalu melanggar kedua-dua mangsa. Akibat daripada pelanggaran itu, kedua-dua mangsa melambung bersama motosikal dinaiki," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital  Pulau Pinang manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Pemandu kereta yang merupakan peniaga ditahan untuk siasatan. Dia mempunyai lesen memandu dan kenderaannya mempunyai cukai jalan sah tempoh turut dibawa ke hospital untuk ujian darah bagi menguji alkohol," katanya.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee  berkata, acara tahunan itu  tidak mendapat pengiktirafan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan  Pulau Pinang.

Menurutnya, beliau memandang serius kejadian  tersebut dan hubungi PAAA untuk salur bantuan kepada mangsa.

"Bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang, saya ingatkan semua persatuan sukan dan penganjur agar pentingkan keselamatan.

"Semua acara sukan perlu dapat kelulusan pesuruhjaya sukan dan sokongan kerajaan negeri bagi membolehkan kerajaan negeri pantau dan beri nasihat dalam penganjuran sukan itu," katanya.