KEPALA BATAS - Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung  dengan sebuah motosikal lain dalam kemalangan yang berlaku di Jalan  Pinang Tunggal di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa Muhammad Shauqi Muhammad Amin,15, dikatakan dalam perjalanan menuju ke sekolahnya namun dia dikatakan gagal mengawal motosikalnya sehingga masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama anaknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner  Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat perlanggaran  itu, ketiga-tiga mereka tercampak ke atas jalan raya dan pelajar berkenaan yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, penunggang motosikal berusia 49  tahun yang terlibat dengan kejadian itu mengalami patah  kaki dan luka di bahagian muka dan tangan manakala anaknya yang berusia 11 tahun cedera di bahagian kaki dan kepala.

"Dua mangsa yang tercedera itu dikejarkan ke Hospital  Seberang Jaya oleh ambulans yang sampai di lokasi kejadian tidak lama kemudian. 

"Semakan yang dibuat  mendapati, pelajar sekolah terbabit tidak mempunyai  lesen menunggang motosikal dan bedah siasat yang dilakukan ke atasnya mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat kemalangan motosikal," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, siasatan lanjut mengenai kes berkenaan sedang  dilakukan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.