BALIK PULAU - Seorang pesara guru dikhuatiri hilang apabila tidak pulang selepas keluar dari rumahnya seorang diri di Hilir Sungai Burung di sini sejak jam 7 petang, tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, Yahaya Mohamed, 80, didapati tidak pulang setelah keluar dari rumahnya dengan memandu Perodua Kancil berwarna perak dan bernombor plat PFG 9937.

Menurutnya, perkara itu disedari anak perempuannya yang membuat laporan polis pada jam 1.13 pagi kelmarin.

"Dari keterangan anak mangsa, bapanya memakai baju kemeja dan seluar slack namun tidak pasti warnanya.

"Mangsa ada memberitahu bahawa dia mahu menghantar lebihan nasi untuk dijadikan makanan ayam di rumah seorang wanita yang dikenali dengan panggilan 'kak teh' di Kampung Terang di sini.

"Anak mangsa telah ke rumah wanita berkenaan namun diberitahu bahawa mangsa tidak datang ke situ. Anaknya bimbang kerana sudah dua hari tidak pulang selain keadaan fizikal dan penglihatannya agak kabur," katanya.

Tambahnya, mangsa juga mempunyai penyakit lupa yang mana kadang-kadang tidak ingat jalan pulang.

"Mangsa percaya bapanya tidak pergi jauh memandangkan kereta digunakan agak uzur.

"Jika orang awam mempunyai atau terserempak dengan mangsa, mereka diminta menyalurkan maklumat di balai polis terdekat atau pegawai penyiasat menerusi talian 0174174173 atau 0124791430," katanya.