GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menubuhkan sebuah Task Force Program Komputer e-Pembelajaran bagi membangunkan sektor pendidikan dalam norma baharu sekali gus memastikan pendidikan pelajar di negeri ini tidak terjejas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata menerusi 'task force' itu, sebanyak enam inisiatif diperkenalkan iaitu skim pinjaman peranti komputer, skim pemberian komputer terpakai, sokongan teknikal dan penyelenggaraan, program latihan literasi komputer, pemerkasaan komuniti melalui e-dialog dan e-forum serta pembelian peranti komputer pada harga diskaun dan pembayaran ansuran tanpa faedah.

"Dalam norma baharu, sebahagian aktiviti pendidikan terpaksa dikendalikan dalam talian. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi antaranya kemudahan internet, kekurangan perantian serta perkakasan yang sesuai, literasi komputer dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru.

"Di bawah 'task force' ini, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan bagi menangani cabaran itu. Kesemua ini adalah untuk memastikan anak Pulau Pinang boleh membuat peralihan kepada sistem e-pembelajaran dengan lancar. Task Force ini terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berdedikasi," katanya dalam siaran langsung laman Facebooknya pada 21 Mei lalu.

Beliau berkata, di bawah skim pinjaman peranti komputer, syarikat Intel Malaysia menyumbang RM250,000 untuk pembelian 120 komputer riba, SNS Network (15 komputer riba) dan Lenovo, PITH serta Acer masing-masing menyumbangkan 10 komputer riba bagi tujuan skim itu.

"Perkhidmatan penyelenggaraan dan latihan dalam talian juga ditawarkan secara percuma kepada mereka yang mengalami masalah teknikal. Semua butiran selanjutnya boleh rujuk dalam laman Facebook Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal sekolah Cina dan Mubaligh negeri Pulau Pinang," tambahnya.

Mengenai aplikasi PGCare yang dilancarkan pada 15 Mei lalu, Kon Yeow berkata, 8,400 premis perniagaan telah didaftarkan sehingga jam 10 pagi (21 Mei) dengan merekodkan hampir 302,000 kemasukan dan mencapai hampir 170,000 pengguna.

"Saya berharap anda semua akan terus mempraktikkan penggunaan PGCare demi keselamatan kita dan komuniti. Sistem ini bertujuan mengesan kontak dengan pantas jika terdapatnya kes Covid-19 yang baharu.

"Jika kita dapat mengesan kontak dengan pantas, maka kita boleh mengasingkan kes positif dengan cepat dan seterusnya mengekang perebakan," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan:

Sekolah akan dibuka, SMKA Kedah susun atur kerusi, meja dan SOP cegah Covid-19

Teruskan PdP di rumah, pastikan murid dapat ilmu - TImbalan Menteri Pendidikan II

Norma baharu: Pelajar perlu diberi kebebasan untuk belajar ikut kemampuan mereka

Pembelajaran maya adalah masa hadapan, PM rayu guru dalami kemahiran pengajaran atas talian

Cikgu ini bimbing murid buat 30 projek Sains sepanjang PKP secara online