TASEK GELUGOR - Semua sekolah agama dan madrasah di negeri ini diingatkan sentiasa mengambil tindakan dan langkah awal dalam menghadapi sebarang bencana.

Peringatan ini diberikan kepada pengelola pengelola,  mudir dan pengurus sekolah agama untuk mengambil tindakan dan langkah perlu bagi jamin keselamatan pelajar dan warga sekolah sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Ketua Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Rosli Othman  berkata, tindakan awal atau langkah keselamatan perlu  diambil bagi menghindari insiden buruk.

"Mengasingkan ruang  memasak atau tempat memasak jauh dan luar dari asrama pelajar  adalah tindakan dan langkah yang baik.

"Kita dapat lihat di sini plan  yang disiapkan pihak pentadbiran Darul Hadis di mana  mereka menempatkan ruang atau tempat memasak itu luar daripada asrama pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian yang  menimpa pusat pengajian itu semasa tinjauan ke lokasi  semalam.

Katanya, sekiranya dapur itu  terutamanya berada berdekatan atau berada pada bangunan  yang sama pada bangunan pelajar berlaku kebakaran maka ia boleh melibatkan malapetaka yang lebih besar.

"Tindakan mengasingkan dapur daripada tempat menginap  pelajar dengan ini dapat meminimumkan risiko berlakunya kemalangan jiwa kepada pelajar dan warga.

"Kita harap dapat dicontohi oleh semua sekolah agama yang lain dalam soal aspek keselamatan yang diambil oleh Pusat Pengajian Darul Hadis ini," katanya.

Dalam pada itu, berkaitan kejadian itu pihaknya akan  melihat dari sudut bantuan dapat disalurkan.

"Masa sama kami juga harap masyarakat supaya bersama membantu meringankan bebanan ditanggung pihak sekolah.

"Bagaimanapun kita bersyukur kejadian ini tidak melibatkan kemalangan jiwa," katanya.