GEORGE TOWN - Sekolah Tamil tertua di Pulau Pinang, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara, dekat sini, menerima dana kerajaan Persekutuan berjumlah RM541,200, bagi menaik taraf kemudahan sekolah untuk menampung peningkatan kemasukan murid baharu, tahun depan.

Pengerusi Lembaga Pengelola SJKT Sungai Ara, K. Nadarajan berkata, pihak sekolah telah memohon dana daripada kerajaan Persekutuan sejak lima bulan lalu dan ia telah disalurkan menerusi sumbangan Bantuan Sekolah Bantuan Kerajaan Tahun 2020, bulan lepas.

Justeru, Nadarajan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Muhammad Yassin, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Pengelola sekolah Tamil Pulau Pinang, pihak sekolah serta guru-guru di SJKT Sungai Ara atas kerjasama yang telah diberikan.

"Dana itu akan digunakan untuk kerja-kerja pengubahsuaian sekolah, mengecat semula, pendawaian elektrik dan membaiki bumbung. Sebelum ini, kita ada mengalami ketirisan ketika hujan dan berlaku litar pintas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini.

Menurutnya, pihak sekolah akan memilih kontraktor untuk menjalankan projek ubah suai secepat mungkin dan renovasi skala besar terakhir yang pernah dilakukan di sekolah itu ialah pada lima tahun lepas.

SJKT Sungai Ara yang kini mempunyai seramai 135 murid dan 14 guru, dijangka akan menerima peningkatan kemasukan murid baharu tahun depan, melihat kepada rekod peningkatan kemasukan murid sebanyak 15 peratus, tahun lepas.

SJKT Sungai Ara pernah menerima Anugerah Khas Program Terbaik kategori sekolah kurang 250 murid daripada Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) dan Kementerian Pendidikan Jepun, pada tahun 2018.

BERNAMA

Artikel menarik

Pembelajaran secara dalam talian. Sejauh mana kita bersedia? Ikuti apa kata pakar

Unit Bimbingan dan Kaunseling bantu Syukor, beri khidmat nasihat untuk redakan trauma