Sekolah Kebangsaan (SK) Stowell berjaya menundukkan Sekolah Kebangsaan To’ Kandu, sekali gus merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Sepak 7
Sebelah Bawah 10 Tahun Piala Datuk Haji Mohd Zaidi Mohd Said, baru-baru ini.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Politeknik Seberang Perai itu  menyaksikan saingan sengit antara kedua-dua sekolah berkenaan yang berkesudahan 2-1.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta pingat dan jersi, manakala naib juara mendapat wang tunai RM300, pingat dan jersi.

Tempat ketiga pula disandang oleh SK Seri Impian apabila berjaya menewaskan SK Machang Bubok.

SK Seri Impian membawa  pulang hadiah wang tunai RM100, pingat dan jersi.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said  berkata, penganjuran kali kedua kejohanan itu berjaya menarik sebanyak 38  pasukan dari seluruh Pulau Pinang.

Menurutnya, program pembangunan bola sepak berkenaan diadakan bagi  mencungkil bakat muda dalam arena sukan bola sepak untuk diketengahkan ke persada yang lebih besar.

“Kejohanan anjuran Pejabat Umno Bahagian  Permatang Pauh dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya akan menjadi acara tahunan untuk kita ketengahkan lagi bakat baharu ke peringkat negeri mahupun negara.

“Kita berharap selepas ini akan semakin ramai lagi bakat muda dari Pulau Pinang yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara termasuk merangkul anugerah di peringkat dunia,” katanya.