TASEK GELUGOR - Barangan dan kelengkapan dapur musnah, resit pembayaran dan pelbagai peralatan lain turut hangus, melibatkan lebih RM100, 000, itu antara kerugian yang dialami Pusat Pengajian Darul Hadis, Pokok Machang di sini akibat kebakaran yang melibatkan tempat memasak dan stor pusat pengajian tersebut.

Kebakaran itu disedari pelajar pusat pengajian di situ kira-kira jam 6.45 pagi kelmarin.

Menceritakan mengenai kejadian, Mudir Am pusat pengajian ini, Ustaz Hanif  Haron berkata, kebakaran berlaku bermula kira-kira jam 6.45 pagi itu memusnahkan dapur memasak dan stor.

"Kejadian tersebut berlaku ketika pelajar dan warden sedang membaca al-Ma'thurat sesudah solat Subuh di surau Raudhah al- Filfilaniyyah.

"Kebakaran tersebut disedari oleh seorang pelajar yang sedang menuju ke tandas, kemudiannya, warden yang bertugas telah bertindak pantas mengarahkan pelajar berkumpul di tapak berkumpul kecemasan sebelum menghubungi bomba," katanya.

Katanya, bagaimanapun dirinya bersyukur kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. 

"Alhamdulillah, biarpun peralatan memasak, barang kering, dan peralatan pejabat musnah, namun kebakaran ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

"Pusat Pengajian Darul Hadis sebelum ini telah mengambil langkah-langkah keselamatan di mana tempat memasak kita asingkan daripada bangunan yang menempatkan pelajar, ini sekaligus mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku," katanya.

Menurutnya, anggaran kerugian yang dialami dianggarkan lebih RM100, 000. 

"Ia melibatkan barang memasak, peralatan dan kelengkapan memasak, barangan kering dan kelengkapan dan barangan lain.

"Bantuan yang kita perlukan buat masa ini meliputi dari sudut kewangan untuk kita membina semula tempat memasak dan stor ini, masa sama bantuan melibatkan barangan kering," katanya.

Dalam pada itu, Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang mengadakan lawatan ke lokasi kebakaran di sini semalam.

Lawatan disertai oleh Ketua Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Rosli Othman. 

Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan dapat berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang (Bank Islam 07043011037033).