NIBONG TEBAL - Menyedari hakikat sekolah rendah adalah cabang untuk memupuk perpaduan dan semangat kerjasama, unit kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat menubuhkan pasukan elit untuk acara kawad kaki.

Kawad Kaki yang memerlukan kerjasama, kesatuan hati dan kepatuhan kepada arahan oleh 30 ahli menjadikan acara itu salah satu medium terbaik untuk mencapai matlamat tersebut.

Guru Besar Abdul Halim Aris berkata, murid yang aktif menyertai aktiviti kokurikulum dilihat lebih memberi komitmen dan mematuhi arahan berbanding murid yang tidak aktif.

"Murid yang terlibat aktif bersama dengan pasukan dapat meningkatkan jati diri dan memupuk kemahiran sosial dalam bermasyarakat," katanya.

Sementara itu, dek kerana kerjasama dan semangat berpasukan, SK Permatang Tok Mahat telah merangkul naib johan pada Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Peringkat Kebangsaan 2018, 10 Ogos lalu.

Diadakan di Dataran Amanjaya Mall Sungai Petani, Kedah, pasukan kawad kaki pengakap kanak-kanak sekolah itu mewakili Pulau Pinang bagi acara kawad kaki kategori Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah Putera.

Pasukan seramai 21 ahli itu diketuai Amsyar Muizzuddin Abd Malek selaku ketua platun.

Pasukan mendapat bimbingan daripada Mohd Yusri Othman, Ilham Saiful ‘Adli dan Muhammad Nazrul Hafiz Firdaus.

Berkongsi kegembiraan bersama guru.