BAYAN LEPAS - Seramai 13 pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas di sini mengalami sesak nafas selepas menjalankan ujikaji makmal ketika mengikuti mata pelajaran Kimia pagi semalam.

Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shahrul Nizam Che Hasan berkata, kesemua pelajar berkenaan mengalami simptom berkenaan ketika menjalankan ujikaji menggunakan cecair iodin pada jam 9 pagi.

Menurutnya, semua pelajar terbabit sedang memanaskan cecair iodin untuk melihat tindak balas pemeluapan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 pagi dan bergegas ke sekolah berkenaan bersama pasukan perubatan.

“Sebaik tiba, kita membantu memberi rawatan awal kepada pelajar terbabit iaitu 11 pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki,” katanya ketika dihubungi semalam.

SMK Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seorang pelajar perempuan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Semua mangsa diberi pengawasan dan bantuan oksigen oleh pasukan perubatan. Hanya seorang pelajar dibawa ke HPP. Pelajar lain difahamkan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba Bayan Baru melakukan kerja pengudaraan bagi membantu mengeluarkan wap cecair iodin berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai punca kejadian, beliau berkata, proses pemanasan cecair iodin itu dipercayai dilakukan di dalam makmal yang tidak mempunyai aliran pengudaraan yang baik.

“Tiada bahan kimia yang berbahaya dan tiada anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dipanggil untuk membantu kerana tidak membabitkan pencemaran bahan berbahaya,” katanya.

Seorang petugas kesihatan mengambil maklumat daripada pelajar Tingkatan Empat SMK Bayan Lepas yang mengalami sesak nafas selepas melakukan ujikaji makmal di sekolah itu.

Artikel berkaitan:

Kejadian pelajar SMK Bayan Lepas terhidu gas iodin: Ini tindakan JPN