GEORGETOWN - Ketika negara digemparkan dengan kejadian seekor kucing bunting diseksa dalam pengering pakaian hingga mati baru-baru ini, masih ada insan berhati mulia yang sanggup berkorban untuk menyelamatkan seekor anak kucing.

Tindakan tiga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan  Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad di Gelugor, di sini, wajar dipuji.

Mereka sanggup  mengorbankan waktu rehat ketika sesi persekolahan hanya untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang sakit.

Muhammad Darwisy Fakhrullah  Ahmad berkata, dia dan dua rakannya terjumpa anak kucing tersebut pagi kelmarin dalam keadaan lemah di hadapan pejabat sekolah terbabit.

Menurutnya, apabila diperhati, kepala dan badan anak kucing yang berusia lingkungan empat bulan itu luka teruk kerana dimakan ulat.

“Kami jumpa anak kucing tu  pagi ketika sesi persekolahan bermula. Disebabkan tidak mahu ganggu pembelajaran, saya dan dua rakan lagi ambil keputusan untuk uruskannya pada waktu rehat.

“Tiba waktu rehat, kami belek badan anak kucing itu dan dapati beratus-ratus ulat telah makan  bahagian kepala dan badannya. Kami boleh nampak ada isi kering yang dah rosak kerana dimakan ulat.

“Tak tahan tengok penderitaannya, saya dan rakan terus ambil sarung tangan dan bersihkannya di tepi  bangunan sekolah. Kami keluarkan satu persatu ulat di badan dan kepalanya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian Jumaat lalu.

Muhammad Darwisy (kiri) dan Abdul Rauf menceritakan  kepada Kandasamy (dua dari kiri), Atikah (dua dari kanan) dan Rozita bagaimana mereka terjumpa
dengan anak kucing berkenaan.

 

Rakannya, Abdul Rauf Abdul Mutalib berkata, walaupun ada pelajar yang jijik dengan keadaan kucing tersebut, ia tidak patahkan semangat mereka untuk menyelamatkannya.

“Saya sedih dan kesian tengok keadaan dia. Kami dah tak kisah masa tu, yang pasti dia bersih dan bebas dari  dimakan ulat. Namun, kami masih pakai sarung  tangan, bimbang juga dijangkiti penyakit.

“Agak lama kami buang ulat dari badan dan kepalanya. Selepas selesai,  kami tempatkan dia di satu tempat sehingga tamat sesi persekolahan. Selepas habis waktu  sekolah, niat nak bawa ke klinik veterinar tapi kami tak cukup wang.

“Jadi kami bawa kucing itu ke Jabatan Veterinar Sungai Pinang.  Doktor bagi ubat cuci dan makan. Doktor juga ada pesan, jika hari ini (semalam) dia masih lemah, kena bawa semula ke jabatan itu pada Sabtu (hari ini). Tapi menyedihkan anak kucing tu dah mati pagi tadi,” katanya.

Terap nilai kasih sayang Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran, Atikah Mohd Ariffin berkata, sekolah itu kerap dikunjungi kucing jalanan berikutan lokasinya berdekatan dengan sebuah pasar.

Menurutnya, seluruh warga sekolah termasuk pengawal  keselamatan sering memberi makan kepada kucing-kucing tersebut berikutan kebanyakkan daripadanya berada dalam kelaparan.

“Pelajar sekolah ini memang diterapkan dengan nilai kasih sayang, prihatin dan berperikemanusiaan. Tapi  tak sangka pula mereka aplikasikan terhadap haiwan  seperti kucing dan burung. Paling ketara, kucing lah.

Sebagai guru, kami menitik beratkan sikap penyayang di kalangan pelajar. 

“Kita tidak mahu, generasi akan datang tidak mempunyai nilai-nilai murni ini sehingga sanggup buat perkara yang tidak wajar. Seperti kejadian yang baru-baru ini. Ia amat kejam. Mengapa kucing itu diperlakukan sedemikian sedangkan mereka juga makhluk Tuhan.

“Sebagai guru, sikap dan nilai murni perlu diterapkan di sekolah. Bermula dari sekolah, ia akan diaplikasikan selepas pelajar tamat sekolah kelak. Sekolah bukan hanya tempat akademik semata-mata, ia mesti seimbang agar generasi dilahirkan lebih berkualiti,” katanya.

Netizen puji tindakan pelajar Mengulas berhubung video  menunjukkan sekumpulan pelajar sedang membersihkan seekor anak kucing di sebuah sekolah, Atikah berkata, ia dirakamkan oleh salah seorang guru sekolah tersebut, S Kandasamy.

Selain Kandasamy, seorang lagi guru, Rozita Ahmad memuat naik gambar beserta kapsyen berhubung perkara sama dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang memuji sikap sekumpulan pelajar terbabit.

Sementara itu, Kandasamy berkata, dia sengaja merakam tindakan terpuji pelajar sekolah itu dan memuat naik ke media sosial agar masyarakat tahu masih ada manusia yang berperikemanusiaan.

“Pada saya, apa yang mereka lakukan, amat mengharukan dan wajar dipuji. Saya nak masyarakat sedar bahawa haiwan juga perlu dikasihi seperti manusia.

Tindakan pelajar ini perlu dijadikan contoh kepada masyarakat lain. “Saya bangga dengan sikap mereka sebab itu saya muat naik di Facebook,”
katanya.

 

Kedua-dua rakan karib ini merupakan pencinta kucing.