GEORGETOWN - Pulau Pinang menduduki tempat pertama dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2017 apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam ujian tersebut.

Exco Agama Islam, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, negeri ini berjaya mengatasi negeri-negeri lain apabila 41.7 peratus daripada jumlah pelajar yang mengambil ujian itu berjaya memperolehi keputusan cemerlang iaitu 8A.

Menurutnya, keputusan itu amat membanggakan dan berharap ia akan dikekalkan.

“2,540 daripada 6,085 calon yang mengambil UPKK tahun lalu dapat 8A. Jumlah itu menunjukkan peningkatan 7.99 peratus berbanding dua tahun lalu. Pada 2016, 1,927 (33.71 peratus) daripada 5,716 pelajar mendapat keputusan 8A dalam UPKK.

“Lebih membanggakan, berdasarkan analisa 8A di seluruh negara, Kelas Asas Fardhu ‘Ain (Kafa) Pulau Pinang menduduki tempat pertama pada 2017 berbanding tempat kedua pada 2016,” katanya.

Abdul Malik berkata, kerajaan negeri amat berbangga dengan keputusan tersebut dan berterima kasih kepada semua guru Kafa di seluruh negeri ini kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kerajaan Pulau Pinang mengucapkan tahniah kepada semua pihak berkaitan, terutamanya 1,564 guru Kafa di 208 pusat (Kafa) di seluruh negeri,” katanya.