NIBONG TEBAL - Majlis penutup Bulan Kebangsaan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat kali ini berlainan daripada sebelumnya.

Sambutan yang diadakan pada 13 September lalu itu menampilkan logo gergasi ‘Sayangi Malaysiaku’ yang bersaiz 35 kaki x 22 kaki.

Logo berkenaan dihasilkan dengan menggunakan bahan kitar semula iaitu surat khabar yang dibalut dengan plastik dan dicat mengikut warna logo Sayangi Malaysiaku.

Penolong Kanan Kokurikulum, Norhayati Mohamad berkata, tujuan logo gergasi dihasilkan untuk melahirkan rasa semangat patriotik dalam kalangan murid dan guru.

“Tujuannya untuk menyemai semangat sayangkan Malaysia dan mewujudkan persekitaran sekolah dalam suasana ceria pada bulan kemerdekaan agar dapat membantu menyokong proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, program anjuran sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kolej Vokasional Nibong Tebal itu dirasmikan Norhayati bersama AJK PIBG.

Selama sebulan program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik  dijalankan.

Antaranya, pertandingan Swafoto Merdeka bersama PIBG, tayangan filem patriotik dan pertandingan pakaian beragam.

Dalam perkembangan lain, Guru Besar, Abd Halim Aris yang tidak dapat hadir pada program itu, berkongsi harapannya bersama warga sekolah.

“Melalui pelaksanaan logo terbesar ini, diharapkan murid dapat menghayati dan mencintai serta menyayangi negara," katanya.

 

 Comelnya murid yang menyertai pertandingan pakaian beragam ini.

 

 Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang Bulan Kebangsaan.

 

Guru dan PIBG ini teruja menyertai pertandingan melukis poster.

 

 Antara guru yang terlibat pada majlis penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah.