NIBONG TEBAL - Sekadar hanya mahu mencuba nasib namun siapa sangka video yang dihasilkan sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim di sini berjaya menarik perhatian juri.

Video yang bertajuk tandas bukan tong sampah yang dihasilkan itu mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Video Kreatif Indah Water Konsortium-GPS Bestari 2018 yang diadakan, tahun lalu.

Ketua kumpulan, Muhamad Izham Mohd Shirizal berkata, walaupun sekadar mendapat tempat ketiga namun mereka tetap berbangga dengan pencapaian itu apabila dapat menjulang nama sekolah di peringkat kebangsaan selain berjaya menewaskan 147 sekolah lain yang mengambil bahagian.

Mengakui kesemua mereka tidak mempunyai latar belakang mengenai ilmu multimedia namun disebabkan semangat ingin mencuba sesuatu yang baharu berjaya menghasilkan video berdurasi tiga minit berkenaan.

"Kami mengambil masa selama tiga hari untuk menghasilkan video berkenaan dan penggambaran dilakukan hanya di dalam kawasan tandas sekolah.

"Kejayaan ini memberi semangat kepada kami untuk hasilkan lebih banyak video kreatif selepas ini," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan semalam.

Hadir menyampaikan hadiah, Pengurus Bahagian Rawatan Air Indah Water Konsortium, Ahmad Nawawi Sulaiman dan Pengurus Pemasaran Sinar Harian, Shahrul Afindi Samad.

Bagi tempat ketiga, pemenang bawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sijil penyertaan dan bahan bacaan sumbangan Kumpulan Media Karangkraf.

Turut hadir di majlis itu, Pengetua SMKA Syeikh Abdullah Fahim, Mahamad Aziz Abdullah.

Shahrul Afindi (kiri) menyampaikan sijil kepada Muhamad Izham.

 

Sementara itu, Muhamad Izham berkata, mesej yang ingin disampaikan dalam video dihasilkan adalah untuk memberi kesedaran kepada semua pelajar tentang kepentingan dalam menjaga kebersihan tandas untuk kegunaan bersama.

"Islam mengajar kita untuk menjadi seorang yang bersih daripada segala aspek sama ada kebersihan diri, tempat tinggal mahupun tandas sekalipun.

"Apabila semua memainkan peranan dalam menjaga tandas dengan baik ia akan beri keselesaan kepada semua pihak," katanya.