PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa mengambil berat tentang pembelajaran murid.

Dengan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KPM komited untuk memastikan murid tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan yang selamat.

Menerusi kenyataan media yang diemelkan sebentar tadi, guru tidak dibenarkan ke sekolah dan hendaklah melaksanakan semua tugasan dari rumah.

Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Semasa Perintah Kawalan Pergerakan telah disediakan oleh KPM. Garis panduan ini memperincikan peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru, ibu bapa dan murid untuk memastikan penyampaian PdP yang berkesan.

KPM menyedari bahawa wujud perbezaan dari segi akses kepada teknologi komunikasi dalam kalangan guru, ibu bapa dan murid.

Sehubungan dengan itu, guru boleh menggunakan pelbagai pelantar dalam talian serta media sosial yang bersesuaian untuk merancang dan memberi arahan/tugasan/kerja rumah.

Selain itu, bagi mengambil kira murid dengan akses internet yang terhad, guru boleh meminta murid melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan buku aktiviti tanpa keluar dari rumah dan memastikan tiada murid yang ketinggalan dalam pembelajaran.

Guru juga boleh merujuk kepada pelantar pembelajaran yang disediakan oleh KPM, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah atau pelantar pembelajaran lain yang bersesuaian.

Pelantar pembelajaran yang disediakan oleh KPM ialah MOE-DL dan boleh diakses melalui http://www.moe-dl.edu.my.

Pelantar ini menyediakan pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams untuk tujuan PdP, buku teks digital, video PdP (EduwebTV/CikgooTube) dan pautan aplikasi yang membantu PdP seperti Edpuzzle (aplikasi pengajaran menggunakan video secara interaktif), Quizizz (kuiz berbentuk permainan) dan Kahoot (pembelajaran berasaskan permainan).

Di samping itu, ibu bapa boleh mengakses EduwebTV (koleksi video) dan CikgooTube (perkongsian koleksi video daya usaha kreativiti guru) bagi membantu pembelajaran anak di rumah melalui http://eduwebtv.moe.edu.my dan http://bit.ly/cikgootube.

Guru diberi fleksibiliti dari segi masa PdP, kaedah membimbing murid, menyemak dan memeriksa latihan/tugasan/kerja rumah murid.

Penghantaran dan pengambilan bahan cetak yang melibatkan pergerakan dalam tempoh PKP adalah dilarang sama sekali.

Berkat kerjasama pentadbir, guru, ibu bapa dan murid, KPM yakin pembelajaran murid dapat dilaksanakan dengan berkesan walaupun dalam keadaan yang mencabar ini.

Tip menarik:

Teknik pencarian perkataan menggunakan kamus - Cara Cikgu Asraf ini buat murid jadi pantas

Nota poket bantu murid ingat fakta dengan tepat - Cikgu Ahmad Safarman

Kuiz Topikal Matematik Tingkatan 3 - 5 KSSM - Google Form Terbaik!