PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menganjurkan Konsert Diraja KPM 2019 pada 29 September ini.

Konsert ini melambangkan penghargaan dan tanda taat setia warga KPM terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Pengarah, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM, Zainal Abas berkata, Konsert Diraja KPM 2019 itu akan mengetengahkan bakat dan potensi generasi muda dalam seni persembahan merangkumi seni muzik, tarian, teater dan seni visual.

"Kami yakin, menerusi konsert sebegini, kita dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang berbakat dalam bidang kesenian," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, Konsert Diraja KPM 2019 adalah platform terbaik yang memberi peluang kepada pelajar tonjolkan bakat.

"Saya ucapkan tahniah kepada KPM kerana berjaya menghidupkan kembali konsert yang kali terakhir berlangsung pada 2009.

"Dan saya yakin, pelbagai persembahan berkualiti dan di luar jangkaan akan ditunjukkan oleh mereka yang terlibat," katanya.

Tambahnya, BSN sentiasa memberi sokongan yang padu bagi memastikan industri pendidikan negara sentiasa rancak dengan inisiatif yang terus memanfaatkan para pelajar tidak kira dalam apa bidang jua pun untuk masa depan mereka yang lebih cemerlang.

Konsep Persembahan Konsert Diraja KPM 2019 akan menggabungkan secara harmonis elemen-elemen muzik tradisional dengan muzik kontemporari serantau dan dunia, permainan alat muzik tradisional dengan alat muzik moden, alunan muzik instrumental dan nyanyian, mempamerkan bakat murid dengan rentak bunyi setempat, suara rasa serantau dan cita rasa semasa.

Sebahagian lagu yang dipersembahkan juga telah diatur semula dan diberi nafas baharu bagi mendapatkan kesan atau impak yang benar-benar berkualiti serta menjalinkan rasa persaudaraan dalam kalangan ahli muzik.

Konsert ini akan dijayakan seramai 127 murid dan guru sekolah dari seluruh negara.

Persediaan konsert ini telah bermula pada Julai 2019 yang lalu melalui sesi pemilihan, pembengkelan dan beberapa siri latihan sebelum ia di pentaskan pada 29 September di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Antara mereka yang akan menjayakan konsert pada kali ini ialah artis Ceria Popstar dan pelakon, Mohd Fikri Izudin (Kiki), artis Astro dan Ceria Popstar, Nurul Maimanah (Nana) dan penampilan khas Aida Jebat.

Konsert ini telah mula diperkenalkan pada tahun 1997 sebagai tanda menjunjung kasih warga Kementerian kepada Seri Paduka Baginda Yangdi-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Konsert ini diilhamkan sejajar dengan hasrat untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang kaya dengan budaya warisan dan kesenian yang luhur dan beri identiti.

Zainal (kiri) bersama Mujibburrahman (kanan) beramah mesra dengan pelajar yang terlibat dengan Konsert Diraja KPM 2019.

Artikel menarik:

Ustazah Fadilah Lee kongsi sembilan tip menghafaz Tahfiz Model Ulul Albab

Cara mudah menghafaz al-Quran...10 tip ini boleh dijadikan panduan

Guru cemerlang ini kongsi tip lulus temuduga Tahfiz Model Ulul Albab

Dr Kamilin kongsi enam sebab, anak perlu hafal al-Quran

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan