KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengambil perhatian serius terhadap penularan Surat Kebenaran Rakan Siswa YADIM Menjalankan Aktiviti Dakwah di Sekolah yang dikeluarkan oleh KPM, 27 November lalu.

Menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada GPS Bestari sebentar tadi, KPM ingin memaklumkan surat tersebut merupakan dokumen pentadbiran antara KPM dengan institusi pendidikan untuk menggalakkan program kepimpinan dalam kalangan murid.

Kebenaran untuk menjalankan aktiviti Rakan Siswa YADIM adalah tertakluk kepada kebenaran institusi/sekolah dan terhad kepada murid beragama Islam yang mahu terlibat secara sukarela.

Dalam kenyataan itu lagi, KPM ingin menegaskan aktiviti ini bukannya langkah Islamisasi dan tidak melibatkan murid bukan Islam serta sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah mubaligh.

KPM memberi jaminan bahawa Rakan Siswa YADIM bertanggungjawab mematuhi peraturan sedia ada dan prinsip kebebasan beragama bagi murid bukan Islam.

Pihak sekolah juga diminta memantau dan memastikan aktiviti tersebut tidak sama sekali melibatkan murid yang bukan beragama Islam.