PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) berpuas hati dengan penjelasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Selangor berkaitan isu pemasangan hiasan yang dianggap keterlaluan bagi sambutan Tahun Baru Cina di sekolah tersebut.

Dalam kenyataannya hari ini, KPM telah menjalankan siasatan terperinci dan pihak sekolah telah memberi penjelasan sebenar.

"Tujuan pemasangan hiasan tersebut adalah bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi.

"Hiasan ini juga adalah sebagai persediaan oleh pihak sekolah yang telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Kaligrafi Cina Peringkat Negeri Selangor yang akan diadakan pada 11 Januari, 2020," katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu, KPM amat berbangga dengan pemilihan sekolah tersebut sebagai tuan rumah kepada pertandingan kaligrafi peringkat negeri ini.

Hiasan bagi sambutan perayaan-perayaan di Malaysia merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi menyokong Rancangan Integrasi Murid-murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

RIMUP adalah program yang menggalakkan penglibatan masyarakat setempat, para guru dan kerjasama murid-murid dalam kegiatan-kegiatan khas serta penggunaan bersama kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan kepakaran. Ini juga termasuk aktiviti silang budaya yang bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan di antara kaum di Malaysia.

KPM sentiasa menggalakkan dan menyokong sebarang aktiviti bagi meningkatkan pendedahan dan kefahaman terhadap kepelbagaian latar belakang bangsa dan budaya masyarakat Malaysia.

Baru-baru ini, tular di media tempatan gambar perhiasan Tahun Baru Cina di sekolah berkenaan yang dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak.

Artikel Menarik:

Penularan wabak influenza A di sekolah... operasi penutupan akan dibuat setelah dapat nasihat KKM

'Ini yang mampu kami bayar. Minta maaf sangat-sangat' - Ustaz Musyetaq terdiam, netizen mula sebak

10 kantin sekolah dengan dekorasi mewah ini patut jadi destinasi lawatan penanda aras

Kerajaan Jepun buka biasiswa untuk guru ingin lanjut pelajaran... Ayuh cikgu