PUTRAJAYA - MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) menawarkan diskaun 20 peratus kepada guru dan pensyarah institusi pengajian tinggi awam serta swasta bagi penerbangan domestik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tawaran sama turut diberikan kepada pelajar yang menjadi ahli program MH Explorer di laman web syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, guru dan pensyarah boleh menempah tiket penerbangan bermula dari 9 Julai hingga 10 Ogos bagi perjalanan pada 10 Julai hingga 30 November ini.

“Diskaun boleh diperoleh melalui tempahan dalam talian dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Bagi pelajar pula diskaun boleh dinikmati sehingga 30 November ini atau sehingga tempoh keahlian tamat mengikut syarat keahlian MH Explorer,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Izham Ismail mengenai harga tiket penerbangan kepada golongan tersebut.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pengurusan Malaysia Airlines atas kesudian menawarkan diskaun ini.

“Diharapkan syarikat penerbangan lain boleh turut serta dalam usaha menurunkan harga tiket penerbangan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, tawaran istimewa itu bertujuan memudahkan mereka pulang ke kampus dalam waktu terdekat memandangkan institusi pendidikan akan dibuka tidak lama lagi.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, sejak 1 Mei hingga kelmarin, seramai 1,391 pendatang asing tanpa izin dan 235 tekong ditahan kerana cuba menceroboh sempadan negara.

“PDRM menahan tujuh warga asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen semalam,” katanya.

BERNAMA