Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

1. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengucapkan terima kasih kepada hampir 500 ribu guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada anak didik mereka terus berjalan walaupun dalam keadaan sukar semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

2. Terima kasih juga kepada ibu bapa kerana telah bersama-sama KPM dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah.

3. Seperti mana yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau pada 10 April 2020, sesi persekolahan akan ditangguhkan dahulu sehingga kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih.

4. Pada masa yang sama, KPM memahami semangat berkobar-kobar lebih lima (5) juta anak-anak yang ingin kembali ke sekolah untuk belajar seperti biasa dan bertemu guru-guru serta rakan-rakan. Kami juga memahami kebimbangan ibu bapa tentang keselamatan dan kesihatan anak-anak apabila sekolah dibuka semula.

5. Menyedari bahawa isu persekolahan ini melibatkan hampir setiap lapisan masyarakat, KPM telah mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama-sama exco pendidikan negeri, wakil daripada majlis agama Islam negeri, pengarah pendidikan negeri, pegawai pendidikan daerah, gabungan majlis pengetua serta guru besar, persatuan ibu bapa dan komuniti, pengusaha sekolah swasta, antarabangsa dan pusat bahasa, guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang berkaitan dengan pendidikan. Kami juga telah mendapatkan pandangan daripada ibu bapa dan guru melalui pelbagai saluran.

6. Selain itu, KPM juga telah mengadakan perbincangan secara mendalam dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan dengan pembukaan semula sekolah.

7. Kami mengucapkan terima kasih atas keprihatinan, pandangan dan cadangan yang telah diberikan. Secara umumnya, dapatan daripada sesi perbincangan ini menunjukkan secara jelas bahawa aspek keselamatan dan kesihatan murid mesti diutamakan.

PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH

8. KPM memahami bahawa ibu bapa bimbang sekiranya mereka tidak dapat membuat persediaan sewajarnya jika pengumuman pembukaan semula sekolah dibuat secara tiba-tiba. Ibu bapa tidak perlu risau. KPM akan sentiasa berbincang dengan KKM untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi pembukaan semula sekolah. KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum sekolah dibuka.

9. Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan ini hanya akan dibuat apabila kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih. Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

10. Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan. KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar dan Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat.

11. Calon-calon peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM pastinya tertanya-tanya sama ada terdapat perubahan kepada tarikh peperiksaan mereka.

12. KPM ingin memaklumkan bahawa tarikh peperiksaan SPM dan SVM akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

13. Untuk calon STPM, tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada bulan Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

14. Peperiksaan STAM juga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

15. Menyedari bahawa penundaan tarikh peperiksaan ini akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021.

PEMBATALAN UPSR DAN PT3

16. Ibu bapa tentu bertanya, bagaimana pula dengan murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan UPSR dan PT3 tahun ini?

17. KPM ingin memaklumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan.

18. Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain. Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

19. Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah baharu akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

20. KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan pun, akses murid kepada PdP tetap diberikan keutamaan.

21. Keputusan ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

22. Sekali lagi KPM ingin menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada KKM dan MKN. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid.

23. Sekian, terima kasih.

Artikel berkaitan:

Sekolah hanya dibuka jika keadaan diyakini kembali pulih

'UPSR batal.. penilaian dilakukan dengan pelbagai kaedah lain' - Dr Mohd Radzi