TUARAN - Pegawai pendidikan di peringkat negeri dan daerah di Sabah diminta mengutamakan isu kemudahan dan prasarana di sekolah-sekolah di negeri itu yang memerlukan perhatian segera.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata terdapat pelbagai isu berkaitan sekolah di Sabah yang sudah lama berlanjutan termasuk keadaan beberapa sekolah yang berada dalam keadaan daif.

Menurutnya, setiap sekolah mempunyai isu unik dan tersendiri yang memerlukan wakil kementerian untuk turun ke bawah bagi mendengar sendiri masalah dialami dalam usaha mencari penyelesaian.

“(Oleh itu) Saya minta supaya semua pegawai di peringkat PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) untuk tetapkan keutamaan dan susun apa isu yang kritikal (isu utama),” katanya pada majlis ramah mesra bersama guru dan pegawai PPD Tuaran di sini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata bagi menyelesaikan masalah sekolah daif, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memperkenalkan sistem kategori bangunan untuk penilaian tahap keadaan infrastruktur sekolah.

“Kita telah kategorikan bangunan (dalam beberapa kategori) dan kategori ketujuh adalah sekolah tidak selamat secara teknikal, (jika ada sekolah dalam kategori ini) kita perlu beri keutamaan terlebih dahulu.

“Terdapat juga bangunan sekolah yang masih boleh diperbaiki dan bangunan itu pihak kita akan salurkan peruntukan penyelenggaraan,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata kementeriannya serius bagi memastikan kualiti pendidikan negara dapat dipertingkatkan dan beliau yakin pendekatan turun padang mampu membantu dalam memahami isu berkaitan pendidikan dengan lebih baik.

“Kalau kita turun ke bawah dan berjumpa (guru dan murid) maka kita akan terima pelbagai input dan maklumat. Kemudian kita boleh bawa isu itu ke pejabat untuk kita kaji dan lihat apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

BERNAMA

Artikel menarik

Keluar rumah 3 pagi dan balik lewat senja, inilah rutin harian seorang pendidik SK Dabong

Mampu hasilkan 33 lukisan yang penuh makna, inilah sentuhan ajaib tangan guru OKU