KOTA KINABALU - ISU pendidikan berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila penularan Covid-19 mula dikesan dalam negara sejak beberapa bulan lepas, terutama dari segi jadual pembelajaran para pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, semasa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan penyakit itu, dalam usaha memastikan setiap pelajar tidak ketinggalan, cara baharu seperti pembelajaran dalam talian perlu diadaptasi pelbagai pihak, terutama guru dan pelajar.

Beliau memberi contoh bagi pelajar Tingkatan Lima tahun depan, sekiranya mereka tidak dapat menghabiskan silibus Tingkatan Empat, pastinya mereka akan menghadapi kesukaran untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebagai kementerian bertanggungjawab kita tidak boleh benarkan ini berlaku sebab itu saya ambil risiko, orang nak bising ke, kita tetap kena ikut perancangan, apa kita nak laksanakan bagi pastikan pelajar tidak ketinggalan akibat PKP,” katanya.

Berucap di Majlis Hi-Tea dan Sembang Santai Menteri Pendidikan Bersama Media Sabah, beliau memahami beban tugas dirasai guru bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan ketika PKP ini terutama akibat perubahan takwim persekolahan, namun beliau memohon agar semua guru memberikan yang terbaik demi anak muda Malaysia.

Radzi berkata beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan bukan dengan tujuan untuk menjadi popular, sebaliknya mahu memastikan setiap rakyat Malaysia terutama generasi muda memperoleh pendidikan sempurna.

Beliau berkata dalam merealisasi hasrat itu lawatan mengejut ke sekolah-sekolah tanpa memberitahu pengurusan terlebih dahulu, telah menjadi rutin buat dirinya, untuk melihat sendiri persekitaran pembelajaran yang neutral.

“Itu (jadi popular) tidak diperlukan, apa yang diperlukan ialah perlaksanaan kaedah dan dasar yang memberi manafaat kepada pelajar murid dan ibu bapa. Itu yang paling penting. Apa yang orang nak kata saya tidak peduli, yang penting kita ‘sampaikan’ untuk rakyat,” katanya.

BERNAMA