Kerajaan telah meluluskan sejumlah 93 projek baik pulih bangunan daif di sekolah-sekolah negeri Sarawak bagi fasa satu dan fasa dua setakat 17 Ogos, dengan kos berjumlah RM700 juta, kata Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata pelaksanaan projek baik pulih itu dibiayai melalui peruntukan RM1 bilion, iaitu kontrak bayaran balik pinjaman mengikut mekanisme khusus yang telah dipersetujui  secara bersama oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri Sarawak.

Beliau berkata sehingga Julai lalu sejumlah RM700 juta pinjaman telah dibayar balik oleh kerajaan negeri Sarawak.

"Secara keseluruhannya, projek baik pulih bangunan daif di sekolah dengan dana RM1 bilion ini dilaksana melalui tiga fasa; fasa satu melibatkan 41 sekolah dengan kos projek berjumlah RM350 juta manakala fasa dua melibatkan 52 sekolah dengan kos projek berjumlah RM350 juta.

"Fasa tiga sedang dimuktamadkan senarai dan skop projek oleh KPM bersama dengan kerajaan negeri Sarawak melibatkan kos projek sebanyak RM300 juta,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) yang ingin tahu status pelaksanaan projek pemulihan, menaik taraf atau bina semula sekolah daif di Sarawak setelah negeri itu membayar sejumlah RM700 juta sebagai pembayaran pinjaman kontrak RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan.

Dr Mah, yang memperincikan status pelaksanaan projek fasa satu, berkata sebanyak 21 projek berada di fasa pembinaan dan 20 projek lagi berada di fasa prabina.

Katanya, projek fasa prabina meliputi empat projek dalam proses penilaian tender, lima projek dalam proses pengeluaran Surat Setuju Terima, lima projek dalam proses memuktamadkan lantikan kontraktor dan enam projek dijangka ditender pada hujung September ini. - BERNAMA