"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”

Itulah ungkapan yang paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan murid-murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)Ladang Ampar Tenang, Sepang, Selangor melalui kelas online sewaktu musim pandemik yang melanda seluruh dunia sekarang.

Rata-rata murid yang terlibat dalam kelas online yang dilaksanakan ini terdiri daripada anak-anak pekerja estate (ladang) dan tidak mempunyai kemudahan untuk belajar serta banyak kekangan lain berbanding murid-murid di kawasan bandar yang lain.

Namun demikian, faktor itu tidak menjadikan murid SJKT Ladang Ampar Tenang ini sebagai alasan untuk menolak pembelajaran secara online akibat pandemik Covid-19 yang berlaku, malah mereka membuktikan mereka lebih hebat dan kreatif dalam menuntut ilmu walaupun secara online.  

Semua telah sedia maklum bahawa perubahan 360 darjah dalam sistem pendidikan negara kita yang menyaksikan seluruh pembelajaran secara fizikal di sekolah berubah sepenuhnya kepada pembelajaran secara atas talian (online).

Cikgu Maizura Moeen atau lebih dikenali Cikgu Wawa tampil berkongsi berkenaan Program Tuisyen Korporat hasil kerjasama dengan Sime Darby (Serenia City) Sdn Bhd.

Beliau yang juga Pengasas Bright Minds Academy melihat perubahan bentuk kelas daripada kelas tuisyen secara fizikal di sekolah kepada pembelajaran secara online sebenarnya dapat menarik minat murid untuk meneroka dan menjadi lebih kreatif dalam mempersembahkan setiap tugasan yang diberikan pada setiap sesi kelas.

“Kelas yang dijalankan melalui program ini bukan bercorak pembelajaran semata-mata, tetapi murid perlu menguasai topik dan membuat latihan secara individu yang disediakan berpandukan video yang ditonton secara online mengikut kreativiti mereka.

“Untuk melatih diri supaya berani untuk bercakap dan ke hadapan, murid perlu merakamkan learning point yang diperolehi sepanjang sesi kelas dalam bentuk video yang akan disemak oleh guru.

“Semangat anak-anak estate ini sebenarnya membuka mata semua bahawa tiada alasan untuk mencapai kejayaan, asalkan dimulai dengan usaha yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Program ini dianggap sebagai salah satu titik permulaan untuk semua barisan tenaga pengajar di Bright Minds Academy untuk membantu lebih ramai anak-anak murid terutamanya dari sekolah luar bandar atau estate berjaya seperti murid yang lain.

Artikel menarik

Petua anak hebat, cemerlang dan baik budi pekerti, Ustazah Aminah kongsi rahsianya

Wujudkan sendiri sudut Nilam anak anda di rumah, ini nasihat Cikgu Norafizah