BANTING - Motif kejadian bunuh seorang ibu yang ditikam anak sendiri di Kampung RTB, Bukit Changgang, di sini, Jumaat lalu, dipercayai berpunca akibat kemurungan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, perkara itu disahkan berdasarkan rakaman keterangan daripada bapa suspek dan suspek sendiri.

Menurutnya, suspek pernah bersekolah di sekolah tahfiz di Bukit Changgang selama empat tahun sejak tingkatan satu.

“Bagaimanapun, keputusan pembelajarannya tidak baik sebelum suspek mengambil keputusan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun berikutnya, namun keputusan peperiksaannya gagal.

“Sebab itu dia jadi murung melampau dan menurut bapanya, anaknya (suspek) memang kurang bercakap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam masa terdekat ini, suspek juga akan dihantar ke pusat rawatan psikiatri.

Mengulas kejadian berkenaan, Azizan berkata, ketika itu suspek dipercayai marah kerana tidak dapat menunaikan solat Jumaat apabila bapa dan adiknya telah bertolak awal ke masjid, manakala rumah berkunci.

“Ibu (mangsa) telah beritahu kepada anaknya (suspek) solat sahaja di rumah. Ketika di dapur, suspek yang melihat pisau, bertindak menikam ibunya.

“Soal siasat terhadap suspek juga mengaku, dia tidak menyedari tindakannya itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, mangsa, Allahyarham Mardziah Muhamad Yusof, 50, ditemui terbaring di dapur dengan kesan tikaman di kepala dan dada.

Ujian air kencing dan darah yang dijalankan terhadap suspek di hospital bagaimanapun didapati negatif dadah.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Jumaat ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.