Shah Alam- Muzik adalah universal sifatnya dan tiada garis sempadan. Muzik juga dapat menyatukan  manusia di dunia yang berbeza bangsa dan bahasa. Inilah yang dapat disaksikan dalam Malaysia  International Children Choir Festival 2016 yang berlangsung di Teater Negeri Shah Alam baru-baru ini.

Festival  ini adalah anjuran  Sekolah Kebangsaan Seksyen 13 Shah Alam dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia bermatlamat menyediakan satu platform dalam usaha  membolehkan murid-murid memperluas pengalaman muzikal dan kesedaran estetik pelajar, memperkaya daya komunikasi serta interaksi melalui persembahan.

Dalam  festival  yang disertai oleh 15 kumpulan koir dari sekolah-sekolah di Malaysia dan antarabangsa seperti Filipina dan Indonesia menyaksikan koir Balon Dagupan  dari Filipina mengungguli dua anugerah utama iaitu Piala Datuk Bandar Shah Alam dan pemenang pertama Diploma Emas.

Balon Dagupan yang berpakaian  tradisional suku kaum Filipina  yang berwarna-warni menyanyikan lagu etnik Filipina dengan persembahan yang bersahaja  dan  memikat. Persembahan koir Sunday School  dari Indonesia  yang membawa lagu etnik Batak juga tidak kurang hebatnya  apabila  mereka menyelitkan nilai-nilai budaya tradisional Indonesia yang unik.

Koir Tempatan Tidak  Menghampakan

Persembahan kumpulan koir dari  Malaysia juga tidak menghampakan dari segi vokal, lagu dan gaya. Kumpulan koir sekolah-sekolah aliran Cina menunjukkan persembahan yang membanggakan yang hampir setaraf dengan sekolah-sekolah luar negara. Malah kumpulan koir sekolah-sekolah aliran kebangsaan pun semakin bertambah baik persembahan mereka.

Kumpulan-kumpulan koir di negara ini perlu suntikan idea dari segi gaya persembahan iaitu bukan sekadar menyanyi atau lontaran suara semata-mata tetapi perlu ada  gaya yang menarik dan props yang relevan dengan lagu yang disampaikan.

Kehadiran sekolah-sekolah yang diundang  untuk mengadakan persembahan juga suatu idea yang menarik. SMK Raja Muda menonjolkan  bakat pelajar-pelajar mereka bermain angklung dalam lagu-lagu hari raya seperti Satu Hari di hari Raya.  Persembahan tarian oleh murid-murid SK Pulau Meranti juga begitu memikat penonton. Gerak badan mereka menarikan tarian tradisional menunjukkan mereka telah berlatih dengan tekun hingga tidak nampak kekok beraksi di hadapan penonton.

Persembahan kumpulan undangan dari luar negara juga tidak kurang hebatnya. Persembahan Youthful Voices dari India dan Young Hit Young Beat dari Vietnam merancakkan dan menyerikan lagi pertandingan ini.

Antara VIP yang hadir dalam majlis ini ialah Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, Dato’ Rashidah Md Arif, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Tuan Mohd Salleh Kassim, Pengarah Pelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Tuan Mohd  Radzi Abdullah, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Petaling Perdana. Datuk Bandar Shah Alam telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Sesungguhnya muzik dapat menyatukan murid-murid dari pelbagai sekolah, yang berbeza bangsa dan  bahasa. Ini dapat disaksikan ketika mereka beramai-ramai dijemput ke atas pentas. Jelas kemesraan antara mereka.

Semoga pada tahun-tahun akan datang kumpulan koir dari Malaysia  dapat meningkatkan persembahan dari segi vokal atau lontaran suara, persembahan dan lagu-lagu yang dipilih agar pertandingan yang diadakan tidak terus didominasi oleh  kumpulan koir antarabangsa.

Keputusan Pertandingan

SHAH ALAM MAYOR AWARD : BALON DAGUPAN, PHILIPPINES
MOST PROMISING OVERSEAS CHOIR : BALON DAGUPAN, PHILIPPINES
MOST PROMISING MALAYSIA CHOIR : SJKC CHONG CHENG, PULAU PINANG
CULTURAL EXCELLENCE AWARD : SUNDAY SCHOOL, INDONESIA
BEST CONDUCTOR WINNER : SK BUKIT DAMANSARA, KUALA LUMPUR

GOLD AWARD
1) BALON DAGUPAN, PHILIPPINES (GOLD GRADE A)
2) SUNDAY SCHOOL, INDONESIA ( GOLD GRADE A)
3) SJKC CHONG CHENG, PULAU PINANG
4) SJKC KUNG MAN, SELANGOR
5) SK BUKIT DAMANSARA, KUALA LUMPUR
6) SJKC CHUNG CHENG, PERAK

SILVER
1) SEKOLAH SRI BESTARI, KUALA LUMPUR
2) SK CONVENT KAJANG, SELANGOR
3) SJKC KWANG HWA, PULAU PINANG 
4)SK SEKSYEN 13, SHAH ALAM, SELANGOR

BRONZE
1) SK ST MARY, SARAWAK
2) SK CONVENT TELUK INTAN, PERAK 
3) SK TG AMPUAN INTAN, K.TERENGGANU
4) SK CONVENT ST ANNES, KULIM, KEDAH
5) SK RAJA MUDA, SHAH ALAM, SELANGOR