SHAH ALAM - Seramai 20 keluarga waris mangsa korban kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat menerima sumbangan antara RM1,000 hingga RM3,000 daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

Sumbangan disampaikan Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Shamshidar Taharin yang juga isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Khairunnisa Khairuddin, ibu kepada Allahyarham Umar Al-Khatab Helmi, 6, melahirkan rasa syukur dengan sumbangan diberikan.

“Saya amat terharu dengan keprihatinan Datin Seri (Shamshidar) terhadap kami sekeluarga. ALLAH telah ‘menghilangkan’ anak saya, tetapi ALLAH gantikan dengan yang lebih baik,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan oleh Pekawanis, semalam.

Sementara itu, Shamshidar dalam ucapannya berkata, peristiwa kebakaran itu lebih menyayat hati apabila si pelakunya merupakan anak-anak yang masih berusia belasan tahun.

“Kejadian seperti ini apatah lagi melibatkan remaja perlu dibendung. Bagi mengatasi isu sosial ini dan mencapai kemakmuran, bukan sahaja pembangunan infrastruktur perlu diberi perhatian, tetapi pembangunan.mental spiritual (keagamaan) harus diutamakan.

“Pembangunan infrastruktur dan keagamaan perlu sejajar kerana ia akan menentukan keberhasilan pembangunan secara keseluruhannya dan bagi mengelak terjadinya perbuatan menyalahi undang-undang, rasuah, kezaliman yang mengundang murka ALLAH,” katanya.

Pada kejadian 14 September 2017 itu, seramai 21 pelajar dan dua orang guru Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo yang menempatkan asrama pelajar.

Sebahagian mangsa ditemui rentung, manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap. Semua mangsa berusia antara enam hingga 16 tahun.