SHAH ALAM - Penyalahgunaan dadah sememangnya suatu perkara yang membimbangkan, sekali terjerumus amat sukar untuk berhenti.

Ia memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu itu sendiri tetapi juga kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Menyedari bahayanya dadah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam menyertai program Laluan PPDa peringkat negeri, anjuran Kementerian Pendidikan.

Penyertaan ini adalah usaha sekolah untuk menerangkan dengan lebih jelas apa itu dadah.

Bertempat di pasar malam Seksyen 19, program Skuad PPDa berjaya direalisasikan dengan sokongan warga sekolah dan PIBG.

Semasa program berlangsung, Skuad PPDa gigih mendapatkan tandatangan serta mengedar risalah dan cenderamata sebagai tanda sokongan masyarakat.

Program yang dijalankan bertepatan dengan misi PPDa iaitu ‘Melaksanakan aktiviti-aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) yang bersepadu dan menyeluruh dari aspek pengurusan dan kepimpinan, kurikulum, kokurikulum dan

pembangunan sahsiah bagi memastikan semua murid bebas daripada dadah.’

Penolong setiausaha PPDa SMK Seksyen 19, Nurul Adawiyah Jaafar berkata, sekolahnya berjaya memperoleh tempat ketiga terbaik bagi negeri Selangor dalam pertandingan ini.

“PPDa SMK Seksyen 19 juga akan bertanding semula pada 17 Februari ini bagi menentukan tempat pertama hingga tempat ketiga peringkat Selangor.

“Sekolah yang mendapat tempat pertama secara automatik akan terus layak ke peringkat kebangsaan bagi tahun ini,” katanya.

Menurutnya, laluan PPDa bertemakan ‘ Colourful Life Without Drugs’ merupakan usaha sekolah untuk menyampaikan maklumat berkaitan dadah dan kesan buruk yang berlaku pengambilannya.

“Penyediaan laluan yang berwarna-warni merupakan simbolik kehidupan yang ceria tanpa sebarang pengaruh dadah,” katanya.