Pelajar tahun akhir pembiayaan pendidikan Yayasan Angkasa digalakkan meneroka keusahawanan koperasi sebagai satu kerjaya pilihan, agar dapat berdaya saing di samping mencipta pekerjaan mengambil kira perkembangan cabaran ekonomi semasa kesan pandemik Covid-19.

Majlis Perasmian Penutupan Program Kerjaya Pelajar Pendidikan Yayasan  Angkasa sesi 2021 Yayasan Angkasa disempurnakan oleh Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Angkasa , Tuan Haji Mutadho Bahri.

Program tersebut bertujuan untuk mendedahkan pelajar pembiayaan pendidikan Yayasan Angkasa dengan kemahiran insaniah (soft skills) yang perlu dikuasai dalam era Revolusi Industri 4.0.

Program yang berlangsung secara dalam talian (Online) sepanjang dua hari bermula 20 Februari 2021 hingga 21 Februari 2021 itu disertai oleh 80 orang pelajar tahun akhir pembiayaan pendidikan Yayasan Angkasa.

Program tersebut itu juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta untuk menceburi bidang keusahawanan koperasi dan bukan hanya menumpukan untuk menjadi pencari pekerjaan di pasaran kerjaya yang semakin kompetitif sebaliknya menjadi pencipta peluang pekerjaan.

Menerusi program itu, Yayasan Angkasa menumpukan kepada aspek pembangunan kemahiran baharu, memperkasa kemahiran sedia ada serta menyilangkan kemahiran pelajar dengan kemahiran yang lain, terutamanya dalam bidang perniagaan sektor koperasi.

Angkasa sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan bersedia membimbing graduan dengan menyediakan khidmat nasihat, peluang perniagaan melalui jaringan koperasi, bantuan penubuhan koperasi serta pembiayaan kewangan melalui koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) sebagai modal perniagaan kepada para peserta.

Yayasan Angkasa turut menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta subsidiarinya, MyANGKASA Amanah Berhad dengan membuka peluang kepada pelajar pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa untuk menjalani latihan industri dalam sektor koperasi.

Yayasan Angkasa  yang dahulunya dikenali sebagai Tabung Pembiayaan Pendidikan ANGKASA –TAPAK,  mula beroperasi pada 10 Oktober 2012, untuk menyediakan pembiayaan Pendidikan boleh ubah yang boleh ditukar kepada biasiswa kepada anggota koperasi dan anak anggota koperasi bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Sehingga Disember 2020, Yayasan Angkasa telah memberikan pembiayaan sejumlah RM14,578,000 kepada 1,127 orang pelajar. Sejumlah RM4,320,408 pembiayaan telah diubah kepada biasiswa yang melibatkan 549 orang pelajar.