KAJANG- Seramai 63 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pinggiran Putra Kajang yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menyertai Program Motivasi Pecutan Akhir UPSR 2017 di Dewan Ibnu Sina, di sini, baru-baru ini.

Program dikendalikan Harith Mind Excel Centre itu bertujuan memberi semangat kepada peserta untuk lebih yakin berdepan musim peperiksaan.

Pengarah Eksekutifnya, Mohd Nadzri Abd Rahman berkata, peserta turut diberi pendedahan dan teknik yang betul menghadapi peperiksaan dalam program itu.

“Ilmu dan teknik dikongsi itu merupakan satu rangsangan motivasi kepada calon UPSR melakukan transformasi minda sebagai persediaan menghadapi ujian.

“Sebagai penganjur kami harap usaha begini jadi contoh dan dapat perhatian semua pihak untuk babitkan diri dan bersama-sama bantu sekolah mencapai kejayaan,” katanya.