Pakar Neurologis muda dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Asyraf Wan Zaidi telah terpilih sebagai rakyat Malaysia pertama yang diterima dalam Program Pemimpin Masa Depan Bagi Penyakit Strok, Pertubuhan Strok Sedunia (WSO FLP).

Beliau yang merupakan Pensyarah Fakulti Perubatan, HCTM UKM dan Naib Pengerusi Majlis Strok Malaysia (MSM) merupakan salah seorang daripada 32 calon yang terpilih daripada 113 permohonan yang diterima oleh WSO.

Pengalaman Dr Wan Asyraf sebagai penyelidik utama negara bagi beberapa penyelidikan klinikal di pelbagai pusat perubatan di Malaysia, menjadi antara faktor beliau memenuhi syarat WSO FLP sekali gus dipilih menyertai program berkenaan.

Selain itu, UKM yang mempunyai struktur yang bagus dari segi rawatan strok dan menjadi antara hospital perawatan strok yang terkehadapan adalah antara faktor beliau berpeluang mengikuti program WSO FLP.

Dr Wan Asyraf yang juga alumni UKM berharap, penglibatannya bersama dengan pakar antarabangsa dalam bidang strok dapat mengembangkan sistem yang lebih baik dan memberikan perawatan berkualiti tinggi untuk pesakit strok di rantau ASEAN, Malaysia dan khususnya di HCTM.

“Saya sangat teruja dapat bekerjasama dengan mentor dan rakan sekerja yang lain.

“Ini bukan program fellowship, tetapi ia lebih daripada itu, seperti berkongsi pengalaman dan kepakaran serta penyelidikan dalam rawatan strok,” ujarnya dengan menambah, program WSO FLP membolehkannya terlibat dalam perbincangan menyeluruh dan pelbagai disiplin mengenai pencegahan, kesedaran, rawatan dan perancangan pemulihan penyakit strok.

Terdahulu, WSO FLP adalah program yang julung kali diadakan dan ia merupakan inisiatif yang dijalankan secara global bagi memperlengkapkan kerjaya petugas perubatan, pengajar dan penyelidik perubatan dengan ilmu dan cabaran masa kini yang berkaitan penjagaan dan penyakit strok.

Sumber: Portal UKM    

Artikel menarik

Skor A karangan Bahasa Melayu SPM, Cikgu Haslindar mahu calon fokus penanda wacana

Aku tak mahu posting di Kapit, Song, Belaga dan Baram, tapi surat ini... itulah yang tertulis