MERU - Tiada yang lebih menggembirakan bagi murid tahun 5, Nik Nur Aliya Nik Mohd Zaini, 11, apabila dipilih cermin mata.

Nik Nur Aliya sebelum ini hanya bergantung kepada rakan untuk belajar kerana masalah penglihatan.

Murid itu yang ditemui gembira apabila masalah rabun sejak tahun 4 akan berakhir.

“Sebelum ini saya ada beritahu mak, saya rabun. Tapi mak cakap kena tunggu ada duit lebih baru dapat buat cermin mata.

“Bila cikgu beritahu saya terpilih terima bantuan, saya sangat gembira. Lepas ni boleh fokus dalam kelas dan tak perlu lagi tanya,” katanya.

Zainal Abidin (berdiri, tiga kanan) bersama sebahagian penerima bantuan cermin mata percuma menerusi program YBK EYE di SK Meru.

Rakannya, Nur Syahira Razali, 11, pula berkata cermin mata percuma itu akan dimanfaatkan sebaiknya.

Nur Syahira berkata, dia menggunakan cermin mata sejak tahun 1.

"Sebelum ini cermin mata saya patah dan terpaksa buatyang lain. Bila ada cermin mata baru ini, boleh saya buat 'spare', mak tak perlu beli yang lain,” katanya.

Nik Nur Aliya dan Nur Syahira adalah antara 100 murid sekolah rendah sekitar Klang yang menerima cermin mata menerusi Program YBK EYE di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, pihaknya menyasarkan 400 murid asnaf di seluruh daerah di negeri ini akan menerima manfaat daripada program YBK EYE.

Menurut beliau, program itu dilaksanakan melalui inisiatif bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Kedai Kacamata Nur Kaseh Klang.

“Pemilihan dilakukan PPD melalui sekolah dan disenarai pendek berdasarkan latar belakang asnaf zakat,” katanya selepas merasmi-kan Program YBK EYE di SK Meru.

Menurut beliau bagi siri pertama ini, seramai 100 murid dari tujuh sekolah menerima bantuan.

Turut hadir, Pengerusi Asrama Kasih YBK merangkap Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan, Dr Hartini Osman; Timbalan Pegawai PPD Klang, Badrul Hisham Mokhtar dan Guru Besar SK Meru, Mohd Abd Manaf Ali.

Katanya, program berkenaan akan diteruskan di daerah lain bagi membantu mengurangkan beban keluarga asnaf.

“Kos untuk buat cermin mata agak mahal dan diharap dengan sumbangan ini dapat memberi sinar baharu kepada penerima selaras dengan slogan Program Clear, Brighter, Better,” katanya.