SHAH ALAM - “Saya bukan tidak cukup kuat. Ya, saya masih mampu tersenyum, tetapi hati saya terlalu rindukan mereka."

Kejadian menyayat hati yang mengorbankan 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, 14 September tahun lalu, tidak pernah terpadam dalam ingatan Mashawani Mohamed Shahid.

Saat menceritakan keadaan dirinya, air mata bergenang, sayu suaranya, sesekali suaranya tersekat menahan rasa rindu yang terlalu dalam.

Akunya, masing terngiang-ngiang keceriaan dan manjanya anak-anaknya ketika menyambut Aidiladha lalu.

“Abang agak pendiam, tak seperti biasa. Hafiz pula terlalu manja. Harris selalu buat ‘perangai’. Tak sampai hati nak marahkan dia. Lagipun kami jarang berjumpa sejak mereka masuk tahfiz. Apa salahnya saya manjakan dan beri kasih sayang kepada mereka.

“Tapi sekarang semua sudah berubah, mereka sudah pergi, saya reda. Ibu mana yang tidak sedih kehilangan tiga orang anak sekali gus.

“Tetapi saya perlu kuat dan teruskan kehidupan. ALLAH sudah menentukan segalanya dan inilah ujian buat saya. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada waris keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, semalam.

Dalam kejadian itu, Mashawani, 37, kehilangan Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13; Muhd Hafiz Iskandar, 11 dan Muhd Harris Ikhwan, 10.

Khairunnisa

Sementara itu, Khairunnisa Khairudin, tidak dapat menahan rasa rindunya pada Allahyarham Umar Al-Khatab Helmi, 6. Mangsa merupakan anak kedua daripada lima beradik.

“ALLAHUAKBAR, saya masih tidak puas bermesra dengan arwah. Masih terbayang-bayang melihat kelibat arwah walaupun empat bulan sudah berlalu. Terasa baru semalam bersama arwah.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah. Cuma ada kalanya si adik akan bertanya di mana abangnya. Mereka begitu rapat,” katanya.

Ketika ditemui, Khairunnisa juga sedang mengendong seorang bayi lelaki yang kini berusia dua bulan.

“Saya beryukur dengan sumbangan diberikan. ALLAH telah ‘menghilangkan’ dia (arwah) dan menggantikan dengan yang lebih baik,” katanya.