Jika anda dari laluan Lebuh Raya Guthrie simpang keluar ke Sungai Buloh, Selangor di sebelah kanan pasti akan terpandang tersergamnya bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak (Semerbak) terletak atas bukit dari situ.

Keluar ke laluan Jalan Kuala Selangor-Kepong dan memasuki laluan kecil Lorong Merbau Sempak 2 sebelum ke sekolah berkenaan, terlihat pula suasana sekitar dengan kedai-kedai kecil dan rumah kampung. Damai dan tenang.

Itu yang penulis rasakan ketika kunjungan ke sekolah yang ditubuhkan pada 28 Mac 1952 ini.  

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Semerbak aktif dengan program dan aktiviti bagi menambahbaikkan prasarana sekolah. Pelbagai usaha dilakukan dengan kerjasama ibu bapa.

Namun masih ada keperluan perlu dilengkapkan bagi kemudahan 1,500 murid di sekolah itu. Justeru sekolah mengharapkan dana penyumbang dan penaja serta pihak prihatin.

Guru Besarnya, Nini Nafaizah Mokhtar berkata, antara prasarana sekolah jadi perhatian dilengkapkan buat masa ini ialah pusat sumber dan galeri sekolah, surau serta kantin.

Galeri Radzi dan pusat sumber yang memerlukan beberapa kelengkapan lagi.

Menurutnya, kelengkapan pusat sumber sekolah ditaja sepenuhnya Yang Dipertua PIBG Semerbak, Mohd Radzi Jarmin kini sudah berubah daripada lantai biasa kepada jubin dan pintu biasa kepada pintu gelongsor.

"Sekarang yang kami perlukan buku-buku dan rak buku. Jika diikutkan secara fizikal memang pusat sumber 100 peratus siap, tetapi prasarana di dalamnya 70 peratus lagi perlu dilengkapkan.

"Antara kemudahan lain diperlukan untuk melengkapkan pusat sumber dan Galeri Radzi adalah, kaunter pusat sumber, pengimbas sistem kod bar, set meja dan kerusi membaca," katanya.

Selain itu, kemudahan surau SK Merbau Sempak antara perlu diberi perhatian. Agak menyedihkan apabila terdapat surau sedia ada, tetapi tidak mampu menampung kemasukan murid satu kelas dalam satu-satu masa.

Perancangan sudah dibuat untuk menambah anjung surau. Tinjauan ke tapak surau mendapati hanya pasak tiang baharu dinaikkan, manakala binaan sepenuhnya masih separuh jalan.

"Kita memang bercadang menambah ruang anjung untuk berjemaah, tapi dana belum cukup. Kos kita perlukan lebih kurang RM50,000, tapi dana ada sekarang hanya RM3,000.

"Buat masa ini hanya kira-kira 20 orang termasuk guru boleh muat dalam surau ini. Tak boleh hendak berjemaah walaupun untuk satu kelas yang biasanya sekitar 40 orang," katanya.

Ruang kantin

Satu lagi kemudahan murid Semerbak perlu diberi perhatian adalah ruang kantin. Biarpun waktu rehat 750 murid dibahagikan kepada dua sesi, namun ruang sempit kantin sedia ada tidak mampu menampung keperluan.

Ruang kantin yang terhad menyebabkan kemudahan itu hanya mampu menampung 250 murid pada satu-satu masa. Untuk itu, seluas 10x5 meter ruang tambahan berbumbung dicadang untuk dibina bagi menampung murid pada waktu rehat di kantin itu.

Kantin tak muat, pelajar terpaksa makan di luar.

"Konsep kami di Merbau sempak, sesiapa menderma, memberi sumbangan atau menaja sebarang keperluan atau mana-mana bahagian dalam kawasan sekolah, kami akan mengabadikan atau meletakkan apa diberi atas nama penyumbang.

"Misalnya, jika ada yang nak menyumbangkan kepada surau bagi binaan anjung untuk berjemaah, kita akan letak nama anjung itu sempena nama penyumbang terbabit," katanya.

Menurutnya PIBG banyak berusaha melengkapkan kemudahan sekolah itu, namun tidak mampu menampung keperluan bagi bajet besar. Difahamkan rata-rata ibu bapa murid di Semerbak kategori luar bandar ini adalah bekerja sendiri, suri rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Semerbak diberi nama sempena Kampung Merbau Sempak dalam Mukim Sungai Buloh. Ia punyai 10 blok bangunan termasuk blok baharu pada 2010, sebuah surau pada 2013 dan dewan terbuka berbumbung pada 2016.