SHAH ALAM –  Bagi membentuk keperibadian mulia dan memantapkan akhlak pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 mengadakan Program Ihya Ramadan pada 17 Jun lalu.

Setiausaha program, Ustazah Siti Turimah Hailani berkata, program tersebut merupakan satu usaha untuk mengukuhkan iman dan sahsiah guru serta pelajar pada bulan mulia itu.. 


Menurutnya, beberapa aktiviti dianjurkan khusus bagi menghidupkan Ramadan ini dengan amal kebajikan dan majlis ilmu.

“Pelbagai  program disusun penganjur, Panitia Pendidikan Islam  seperti program yang melibatkan guru dan pelajar perempuan melalui tazkirah yang disampaikan  Ustazah Haryati Borham.

“Melalui program ini, pelajar dan guru dilibatkan secara langsung dan didedahkan dengan sifat mahmudah seorang muslimah dan sentiasa bertaubat kepada ALLAH SWT,” katanya.

Mereka juga diajar  berkasih sayang kerana ALLAH, zuhud atau bersikap sederhana , sentiasa mengamalkan sifat ikhlas kerana ALLAH dan sentiasa mencari ilmu yang bermanfaat.

 “Panitia Pendidikan Islam akan berusaha meneruskan lagi program seperti ini di masa akan datang dan Program Ihya Ramadan ini juga akan diteruskan setiap tahun apabila tibanya Ramadan,” katanya.