KLANG - Penubuhan Sukarelawan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, rapatkan hubungan antara ibu bapa, komuniti dan sekolah, di samping sebagai pasukan sokongan kepada pengurusan sekolah dan PIBG dalam membantu melancarkan program-program sekolah.

Guru Besar SK Sungai Binjai, Roslan Zakaria berkata, misi penubuhan Sukarelawan PIBG SKSB Di hatiku diharap dapat membantu melancarkan dan memudahkan urusan sekolah dalam program-program yang dirancang demi kemaslahatan serta kecemerlangan murid-murid SKSB, selain mengeratkan ukhuwah antara sekolah dan ibu bapa.

Guru Besar Sk Sungai Binjai, Roslan Zakaria

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, ini yang saya dapat gambarkan tentang pemuafakatan dalam mencari satu titik kebersamaan,” kata beliau ketika di program Sembang Santai Sukarelawan PIBG SKSB Di hatiku, di sini semalam.

Pasukan sokongan Sukarelawan PIBG SKSB Dihatiku, yang ditubuhkan itu, menerima penyertaan awal seramai lima puluh orang ahli yang terdiri daripada ibu bapa dan  diasaskan oleh Guru Besar, Roslan Zakaria dan Yang diPertua PIBG, Jaya Kusuma Rusman.

“Ibu bapa yang berminat dan secara sukarela menyumbang kemahiran, kepakaran, tenaga dan kewangan dalam melakukan aktiviti sukarelawan, dibantu rakan strategik yang terdiri daripada sukarelawan komuniti Meru seperti Meru Prihatin, MPKK Meru, RELA,  serta individu yang mewakili komuniti, agensi kerajaan, alumni sekolah dan juga individu yang berminat dan berpotensi dalam membantu peningkatan kecemerlangan murid,”katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut, YDP PIBG,  Jaya Kusuma Rusman, Ketua Kampung dan Pengerusi MPKK Meru, Azman Mohamed Tawil,  Sukarelawan Meru Prihatin,  RELA, dan Sukarelawan PIBG SKSB Di hatiku.