SERI KEMBANGAN – Penghasilan video dibuat dalam tempoh singkat dan dihantar pula pada saat akhir sebelum tarikh tutup penyertaan, ternyata tidak menghalang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desaminium di sini, memenangi tempat kedua Pertandingan Video Paling Kreatif Anugerah Kecemerlangan GPS Bestari.

Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) dan akhbar Sinar Harian memberi tuah kepada sekolah itu menerusi hadiah wang tunai RM1,200 berserta buku dengan nilai keseluruhan RM10,000.

Pelajar, Nadira Aleesya Ahmad Tarmizi, 17, berkata, dia terkejut apabila mengetahui video dihasilkan bersama rakan-rakannya berjaya menduduki tempat ketiga teratas.

Katanya, usaha dilakukan selama hampir tiga bulan itu berbaloi dan semua pihak komited ketika penghasilan video terutama rakan sekelas pada tahun lalu.

“Memang terkejut kami menang sebab sekejap saja kami buat video ni. Kami buat tiga bulan tapi bukan sepenuh masa. Bila ada masa lapang baru dapat fokus. Terima kasih kepada semua yang menjayakan drama pendek ini dan tak sangka kami menang tempat kedua,” katanya.

Pelakon utama, Sharifah Alya Afrina Syed Azhar, 17, berkata, drama pendek itu mengisahkan kehidupan seorang pelajar bernama Alya yang gemar menghabiskan masa lapang dengan aktiviti tidak bermanfaat.

Katanya, dia cuba menghayati watak dalam video berdurasi tiga minit itu dan berharap lakonannya memberi mesej kepada pelajar lain bahawa gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya.

“Ada banyak dugaan masa buat video ni. Tapi, atas bantuan kawan-kawan dan guru kami berjaya atasi masalah. Lebih menggembirakan, kami menang pula walaupun tak berjaya dapat tempat pertama,” katanya.

Seorang lagi pelakon drama pendek itu, Yasawati Md Yusoff berkata, kepenatan menghasilkan video itu berbaloi apabila mengetahui penyertaan dihantar dipilih pihak juri sebagai pemenang.

“Alhamdulillah kami menang. Bukan mudah tapi kami keluarkan semua idea dan tenaga yang ada untuk hasilkan video ni,” katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah, Roslina Ahmad berkata, dia bangga anak muridnya mampu menghasilkan video yang berjaya mendapat tempat di peringkat kebangsaan.

Katanya, dia menerima berita kemenangan ketika berada di Mekah dan berasa teruja dengan kejayaan direkodkan anak muridnya.

“Mulanya penyertaan ini sekadar ‘main-main’ saja sebab saya tahu penganjur terima banyak penyertaan tapi terkejut sekolah kami dipilih menjadi pemenang. Saya pasti anak murid memang ada kemampuan, namun kena beri banyak dorongan kepada mereka.

“Rasa bangga kerana mereka buktikan bakat dan kebolehan masing-masing,” katanya.