Biarpun tidak ke sekolah, di rumah pun boleh belajar juga. Itulah semangat dan keazaman yang ditunjukkan oleh pelajar Tingkatan 2, Adam Adrian Md Zurolhisham, meskipun tidak dapat menghadiri pembelajaran secara bersemuka di dalam kelas.

Sungguhpun sedikit sukar, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang, itu tekun mengikuti pembelajaran melalui  telefon bimbit miliknya.

“Sebenarnya, belajar di rumah ni tak seseronok seperti di dalam kelas. ‘Feel’ belajar tu kuranglah sikit berbanding pengajaran secara langsung dengan cikgu. Tapi saya reda, sebab situasi terkini tidak memungkinkan untuk ke sekolah seperti biasa,” jelas Adam, sambil diperhatikan ibunya, Noor Fazidah Umar.

Menurut Fazidah yang mempunyai tiga orang anak yang mengikuti pembelajaan secara maya di rumah, cabaran utama mereka adalah peralatan alat bantu belajar yang tidak mencukupi.

“Adam tiada masalah sangat, dia ada telefon pintar sendiri. Hanya adik-adik Adam jelah yang terpaksa berkongsi telefon saya untuk belajar. Laptop pun hanya ada satu.

“Saya tak perlu pantau sangat pembelajaran Adam dan adiknya Ayrinn, cuma adik mereka Ayraa yang bersekolah rendah tu yang susah sikit. Ini paling mencabar, sebab saya sibuk dengan urusan kerja hakiki saya, selain kerja rumah yangtak pernah habis. Pada masa sama, kena juga rekod kerja-kerja aktiviti dan hafazan, sebelum hantar pada cikgu,” katanya kepada GPS Bestari.

Tambah beliau, memang sukar sebenarnya uruskan PdPR di rumah. Sebab, semua aktiviti pembelajaran mereka perlu dipantau.

Katanya, jika anak yang sudah bersekolah menengah, tiada masalah sangat, mereka dah boleh atur jadual sendiri.

"Buat masa ni, pembelajaran mereka memang mengikut jadual yang telah ditetapkan. Saya akan cuba bantu dan pantau mereka, walaupun agak sukar, sementelah mamanya ini pula kurang mahir cara mengajar sebab tak belajar pedagogi. Apapun saya berharap keadaan di negara kita ni segera pulih, anak-anak pun dapat belajar seperti biasa di sekolah.

"Apapun, saya cukup memuji usaha pihak pentadbir sekolah dan para guru yang berusaha sebaik mungkin memberikan kaedah terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran murid dalam PKP ini walaupun pelbagai kekangan yang dihadapi,”katanya yang tinggal di Meru, Klang.