KELANA JAYA - Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana muncul juara Piala Sumbangsih Piala Raja Muda Selangor pada perlawanan penuh dramatik yang diadakan di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya di sini, semalam.

Pada aksi itu, SK Sri Kelana menewaskan SK Taman Universiti menerusi penentuan sepakan penalti 2-1 selepas terikat 1-1 waktu sebenar.

Bagaimanapun, tuan rumah dikejutkan gol awal oleh Muhammad Mazwan Mazuri pada minit kelima sebelum SK Sri Kelana bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-42 yang dijaringkan Amir Ashraf Amran.

Danish Hakeem Shahrol Pizam muncul wira SK Sri Kelana apabila menyempurnakan penalti terakhir untuk memberikan kemenangan bergaya mereka kempen musim ini.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu juga menandakan bermulanya Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor edisi ke-30 yang melibatkan penyertaan 32 pasukan mengambil bahagian.

Pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.

Kejohanan ini adalah pentas terbaik bagi mencungkil bakat baharu pemain bola sepak bawah 12 tahun di Selangor.

Matlamat utama kejohanan adalah untuk menggilap bakat anak-anak muda dari peringkat akar umbi supaya dapat diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi dalam sukan bola sepak tempatan.

Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) sekali lagi muncul sebagai penaja utama kejohanan buat kali kelima berturut-turut.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin, pihaknya menyumbang tajaan sebanyak RM100,000 untuk kejohanan ini dan RM150,000 bagi saingan Piala Mokhtar Dahari.

Manakala GPS Bestari dan Sinar Harian menjadi portal dan akhbar rasmi kejohanan yang menawarkan hadiah utama RM4,000.