RANTAU PANJANG - Impian mulia seorang anak muda untuk menyebarluaskan ilmu ALLAH dengan menjadi pendakwah bebas ‘berkecai’ apabila dia lumpuh selepas motosikal yang ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah lori pasir di Kampung Pelahap, Jeli pada 22 Disember lalu.

Kejadian jam 9.20 malam itu bukan sahaja menyebabkan Mohd Norfainuzuraimi Zulkifli, 22, lumpuh malah dia turut disahkan menghidap penyakit saraf pada kaki kiri.

Lebih memeritkan lagi, dia terpaksa menjelaskan bayaran bulanan ansuran motosikalnya berjumlah RM160 selain belanja untuk rawatan susulan.

“Saya bergantung sepenuhnya kepada bapa Zulkifli Isa, 54, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Baroh Pial untuk menampung perbelanjaan.

“Selain itu, bapa juga perlu menyara enam lagi adik yang masih kecil dan bersekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baroh Pial, dekat sini semalam.

Mohd Norfainuzuraimi berkata, sejak kemalangan itu, kehidupan harian dia diuruskan sepenuhnya oleh ibu, Mariam Jusoh, 49.

Katanya, sejak kejadian itu dia sudah empat bulan terlantar dan menghabiskan masa diatas katil selepas tidak lagi boleh bergerak.

“Doktor sahkan tulang pinggul saya di bahagian kiri patah manakala tulang paha kanan retak,” katanya.

Mohd Norfainuzurai-mi berkata, sebelum kejadian dia ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi membeli sebuah motosikal pada November tahun lalu.

Katanya, untuk menjadi seorang pendakwah dia perlu memiliki sebuah kenderaan kerana perkara itu menjadi salah satu syarat bagi mendapatkan tauliah mengajar di masjid.

“Selepas bekerja selama dua bulan, saya dapat beli sebuah motosikal secara ansuran. Selepas membeli motosikal saya buat keputusan untuk pulang ke kampung bagi mendapatkan tauliah sebagai pendakwah.

“Saya pulang ke kampung bersama abang dengan menunggang motosikal secara berasingan. Setiba di Kampung Pelahap, saya terlibat dengan kemalangan selepas sebuah lori pasir membuat pusingan U secara mengejut tanpa beri sebarang isyarat,” katanya.

Mohd Norfainuzuraimi yang merupakan bekas pelajar Madrasah Darul Muktaqim (Tanah Merah) dan Madrasah Ayah Su (Kampung Jenal, Jeli) berkata, dia tidak sempat untuk  memanfaatkan tauliah itu dengan mengajar ilmu agama kepada masyarakat.

Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik ibunya, Mariam Jusoh (03-054-02-077723-7).

Artikel menarik:

'Peningkan nak cuti raya' - Ini jadual pekeliling dari KPM

'Terima kasih semua...' - Rezeki murid Tahun Enam jaga lima adk tidak putus-putus

Sambutan luar biasa FGM 2019: Diserbu ribuan pengunjung khususnya guru dari seluruh negara

'Meninggal ketika laung azan kedua untuk solat Jumaat' - Cikgu ini sebak kenang Amirul Najmi

Bapa latih anjing untuk awasi anaknya buat kerja sekolah