MERSING - Pasukan ragbi Sri Mersing bangga apabila tiga pemainnya terpilih mewakili negara bagi kejohanan Youth Olympic Asia Qualifying di Taiwan, bulan depan.

Pengurus pasukan, Salmah Muda berkata, awalnya mereka menyasarkan hanya seorang terpilih, namun dikejutkan dengan prestasi cemerlang pemain ketika sesi pemilihan.

Menurutnya, sebelum itu lima pemain pasukan tersebut terpilih ke kem fasa pertama bersama 30 pemain seluruh negara bawah 17 tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, April lalu.

“Kita sasarkan seorang saja sebenarnya terpilih. Tapi dalam pemilihan Ahad minggu lalu, saya tak sangka tiga pemain kita diumumkan terpilih daripada 12 orang yang disenarai pendek,” katanya kepada Sinar Harian.

Tiga pemain yang terpilih masing-masing berusia 16 tahun iaitu Mohammad Arief Duharis, Muhamad Faiq Aslah Mohd Satar dan Muhammad Hazim Nor Ismail manakala dua lagi pemain berusia 17 tahun, Mohamad Azrin Amrin Usri dan Cassler Dominic Gisang pemain simpanan.

Salmah berharap kesemua pemain yang terpilih dapat melakukan sehabis baik di pentas sebenar nanti.

“Saya harap dalam tempoh sebulan ini mereka perbaiki stamina dan disiplin.

“Sudah semestinya kita mengharapkan mereka tunjuk prestasi terbaik kerana mereka turut membawa nama sekolah, daerah dan negeri ini ke pentas antarabangsa,” katanya.

Mohammad Arief memenangi anugerah Pemain Terbaik bawah 15 dalam kejohanan International Rugby 10’s tahun lalu.

Dulu mangsa buli kini pemain ragbi

Mohammad Arief yang bermain di posisi 'scrum half' berkata, penglibatannya dalam sukan ragbi memang tidak dirancang memandangkan dia aktif dalam seni zapin.

Bagaimanapun katanya, sukan ragbi benar-benar mengubah hidupnya yang dulu pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah rendah.

“Saya baru darjah tiga masa tu, saya dan budak yang buli saya dipanggil guru besar, Cikgu Zulkefli Mohd Amin (Ketua Jurulatih Sri Mersing). Lepas dia (pembuli) dirotan, Cikgu Zul tahan saya dan tanya, awak nak tak main ragbi?

“Sebab cikgu cakap, badan akan jadi kuat, sihat dan lebih berdisiplin. Budak yang buli saya pun diajak sertai ragbi dan akhirnya kami berkawan melalui ragbi," katanya.

Kata Mohammad Arief, walaupun begitu selepas setahun bermain ragbi, dia masih tidak diberi peluang bermain dalam pasukan utama.

"Cikgu Zul selalu pesan, main sungguh-sungguh dan satu hari nanti pasti nama saya akan ada dalam pasukan utama. Alhamdulillah kini kata-kata cikgu sudah terbukti,” katanya.

Bersyukur dengan pencapaiannya setakat ini, Mohammad Arief mengimpikan untuk menyarung jersi Malaysia.

“Saya harap ada ruang untuk saya terus majukan diri dan tersenarai dalam pasukan utama negara untuk bantu angkat nama negara sebagai johan Asia,” katanya.

Mohammad Arief pernah dinobatkan pemain terbaik Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) 2015 bawah 15.

Pindah sekolah demi ragbi

Bakat pemain posisi 'forward', Muhammad Hazim pula dikesan ketika pertandingan ragbi di SMK Ungku Hussin, Endau tahun lalu.

“Saya ditawarkan sertai ragbi Sri Mersing dan saya pindah sekolah dari Kota Tinggi ke Mersing.

“Saya sangat berterima kasih pada Cikgu Zul, Ustazah Salmah kerana tarik saya masuk pasukan ini,” katanya.

Kata Muhammad Hazim, terlalu banyak yang dipelajarinya daripada sukan ragbi terutamanya disiplin dan kerjasama.

Cinta ragbi sejak sekolah rendah

Bagi pemain posisi 'fly half', Muhamad Faiq Aslah, dia mula aktif bermain ragbi sejak sekolah rendah sehingga mewakili Johor seawal usia 11 tahun

“Sejak darjah tiga saya dah mula main ragbi dan sekarang saya dapat tiket wakil negara, memang bersyukur.

“Walaupun sibuk berlatih setiap hari tapi pelajaran kami tak lupakan. Bersukan bukan alasan kami untuk tidak belajar malah sebenarnya sangat membantu kami dalam pelajaran,” kata anak keempat ini yang memperoleh 5A dalam PT3, tahun lalu.